Hantar Senjata Takkan Bawa Kedamaian di Ukraine - Duta China

2022-09-09 14:19:47  CRI
Share with:

Penghantaran senjata kepada Ukraine tidak akan membawa kedamaian, kata Timbalan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang.

Menurut beliau, krisis Ukraine yang berlarutan lebih enam bulan membuktikan bahawa senjata membawa kesengsaraan teruk kepada manusia.

“Pertempuran sengit masih berlaku di pelbagai tempat setakat ini, sementara lebih banyak senjata dan peluru dihantar ke medan perang.

“Kemungkinan konflik itu akan berpanjangan dan merebak adalah amat membimbangkan,” katanya semasa sesi perbahasan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai penyebaran senjata di Ukraine pada Khamis.

Beliau berkata, China konsisten dengan pendirian bahawa dialog dan rundingan adalah kaedah yang paling praktis bagi menangani krisis berkenaan.

“Kedamaian berkekalan Eropah dan dunia perlu bersandarkan kepada keselamatan yang bersama, komprehensif, bersifat bekerjasama dan mampan,” ujarnya.

Jelas beliau, krisis Ukraine sekali lagi membuktikan amalan mengejar politik kuasa dan keselamatan mutlak, kepercayaan kepada ketenteraan serta cubaan menghasut perpecahan dan konfrontasi tidak mungkin membawa kedamaian dan ketenteraman.

Beliau turut menggesa pihak-pihak terlibat mengekalkan kontak, memberi ruang untuk rundingan diplomatik dan berusaha mewujudkan gencatan senjata secepat mungkin.