Penempahan Ruang Pameran CIIE 2022 Selesai

2022-09-09 14:42:52  CRI
Share with:

Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi kelima akan berlangsung di Shanghai pada 5 hingga 10 November nanti seperti dijadualkan.

Urusan penempahan ruang pameran kini sudah selesai, yang turut melibatkan lebih 280 syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500 dan syarikat peneraju dalam sektor berkenaan. 

Menurut timbalan ketua pengarah Biro CIIE, Liu Fuxue, ekspo kali ini akan menghimpunkan kira-kira 90 peratus pempamer yang pernah menyertai CIIE edisi lalu.

Difahamkan, zon pameran barang pengguna CIIE tahun ini terutamanya meliputi alatan isi rumah pintar, produk kecantikan serta barangan fesyen dan sukan, dengan menerapkan konsep hijau, rendah karbon dan lestari.

Zon pameran perdagangan perkhidmatan pula akan memenuhi keperluan pemulihan pasaran pasca wabak COVID-19, di samping terus meneroka potensi inovasi dalam bidang perkhidmatan sumber manusia dan rantaian bekalan e-dagang.

Selain itu, perancangan mengenai perdagangan digital dan industri hijau serta produk hiburan internet turut menjadi tumpuan.