Nigeria Alu-alukan Pelaburan dari China

2022-09-12 13:30:12  CRI
Share with:

Nigeria menjalin kerjasama yang rapat dengan China dalam bidang pembinaan infrastruktur, ekonomi dan perdagangan, di samping mengalu-alukan syarikat China melabur di negara itu, kata Menteri Industri, Perdagangan dan Pelaburan Nigeria, Otunba Adebayo.

“Kami mengalu-alukan syarikat China memanfaatkan peluang pelaburan yang disediakan kerajaan Nigeria untuk membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran serta membina zon ekonomi khas dan taman perindustrian.

“Pelaburan berkenaan digalakkan tertumpu kepada sektor seperti pemprosesan lanjutan terhadap produk pertanian bernilai tinggi seperti gula, minyak sawit dan kapas.

“China mempunyai pengalaman profesional yang dapat diteladani dalam bidang tersebut,” ujarnya dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) di Abuja baru-baru ini.

Adebayo juga menyarankan pelabur China memanfaatkan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) untuk meneroka potensi pasaran di Nigeria dan negara-negara Afrika yang lain.  

“Potensi pasaran di Nigeria akan memberi peluang baik kepada sektor pelaburan dan perkilangan China.  

“Syarikat China dialu-alukan datang menjadi pengilang di Nigeria, dan menjadikan negara ini hab untuk pembekalan barangan kepada negara Afrika yang lain, bahkan rantau lain di dunia,” katanya.

Menyentuh tentang Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) kelima yang bakal berlangsung di Shanghai pada November, Adebayo berharap Nigeria dapat mengambil peluang daripada ekspo itu untuk mempromosi produknya kepada pengguna China.

“Nigeria mempunyai banyak produk yang bagus. CIIE memberi peluang baik untuk meningkatkan kepopularan produk kami di China. Kami berharap semua produk eksport Nigeria dapat dipamerkan menerusi peluang itu,” ujar beliau.