Pentingnya Harapan Buat Seluruh Manusia: Presiden UNGA

2022-09-13 14:35:51  CRI
Share with:

Presiden sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Abdulla Shahid menyatakan bahawa harapan mesti diteruskan walaupun banyak cabaran dihadapi umat manusia.

“Hari ini, sesi ke-76 sudah berakhir, tetapi harapan mesti kekal,” katanya pada pleno penutup perhimpunan agung berkenaan, Isnin.

Menurutnya, pandemik COVID-19 masih berlarutan dan konflik ketenteraan berterusan. Jutaan orang di serata dunia menderita kelaparan dan kemiskinan.

Selain itu, krisis perubahan iklim terus mengancam dunia, manakala sistem multilateralisme menjadi rapuh.

“Setiap krisis terasa lebih teruk daripada yang lalu. Namun, krisis sebenar adalah kehilangan harapan.

“Harapan bukanlah optimisme buta atau kejahilan selektif. Harapan adalah mengetahui dan mengiktiraf potensi kita. Ia akan menyaksikan keajaiban asalkan kita bekerjasama”, kata Shahid.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menekankan bahawa multilateralisme satu-satunya harapan buat umat manusia.

Beliau menyeru negara anggota supaya menempuhi jalan berasaskan pendekatan diplomatik, perundingan dan kompromi.