China, Belarus Naik Taraf Hubungan

2022-09-16 11:10:25  CRI
Share with:



Hubungan antara China dan Belarus dinaik taraf ke peringkat perkongsian strategik komprehensif sepanjang masa.

Demikian kata sepakat dicapai antara Presiden Xi Jinping dengan rakan sejawatnya dari Belarus, Alexander Lukashenko semasa berlangsungnya pertemuan di Wisma Tamu Negara Samarkand di Uzbekistan, petang Khamis.

Xi berkata, sepanjang tiga dekad lalu, hubungan antara kedua-dua negara kekal utuh, menyaksikan kerjasama melibatkan segenap aspek dilaksanakan dengan mantap.

Beliau menyifatkan penaiktarafan hubungan berkenaan sebagai lompatan bersejarah.

Presiden itu meluahkan kesediaan untuk bersinergi dengan Belarus dalam mengukuhkan lagi sokongan politik antara satu sama lain, dan mengoptimumkan potensi kerjasama dalam pelbagai bidang demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menyarankan supaya kerjasama saling menguntungkan dalam pelaburan, ekonomi dan perdagangan diperkasa, selain usaha terus dipergiat untuk memecut pembangunan taman perindustrian China-Belarus ke arah mesra alam, pintar dan digital.

Dalam pada itu, Lukashenko membalas dengan mengatakan bahawa penaiktarafan hubungan selaras dengan keadaan semasa dan keperluan dua negara.

Beliau turut menyuarakan sokongan padu kepada pembangunan China dan penyatuan semula negara China, serta berdiri teguh di sisi China dalam isu teras seperti isu Taiwan.