China, Rusia Komited Saling Menyokong dalam Isu Kepentingan Teras

2022-09-16 13:02:09  CRI
Share with:

China bersedia bekerjasama dengan Rusia untuk saling menyokong dalam isu-isu melibatkan kepentingan teras masing-masing, kata Presiden China Xi Jinping dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin, di sini pada Khamis.

“Sejak awal tahun ini, China dan Rusia mengekalkan komunikasi strategik yang berkesan. Kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang diperhalusi dan diperkukuh  bagi mengekalkan koordinasi yang rapat di peringkat antarabangsa, sekali gus menegakkan norma-norma asas hubungan antarabangsa.

“China bersedia bekerjasama dengan Rusia untuk memikul tanggungjawab sebagai negara besar dan memainkan peranan peneraju dalam menjaga kestabilan dunia yang sedang bergelut dengan konflik dan pergolakan” kata Xi.

Presiden Xi berkata, China komited bekerjasama dengan Rusia untuk memperdalam kerjasama praktikal dalam bidang-bidang yang melibatkan perdagangan, pertanian dan kesalinghubungan.

“Kedua-dua pihak perlu meningkatkan koordinasi di bawah kerangka pelbagai hala termasuk Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Persidangan mengenai Interaksi dan Langkah Membina Keyakinan di Asia (CICA) dan BRICS, mendorong pelbagai pihak terbabit menggalakkan perpaduan dan memupuk rasa saling percaya, memperkasa kerjasama praktikal, dan memelihara kepentingan keselamatan serantau serta kepentingan bersama negara-negara membangun dan negara-negara pasaran baharu,” kata Xi.

Putin dalam ucapannya pula menyatakan bahawa dunia sedang mengalami pelbagai perubahan, namun satu-satu perkara yang tidak berubah adalah persahabatan dan sikap saling percaya antara Rusia dengan China, manakala  perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara juga kekal stabil.

“Rusia komited berpegang teguh pada prinsip Satu China dan mengutuk tindakan provokatif segelintir negara dalam isu-isu mengenai kepentingan teras China.

“Rusia bersedia meningkatkan komunikasi dan kerjasama dua hala dan pelbagai hala dengan China,  memperkasa kerjasama dalam bidang utama seperti ekonomi, perdagangan dan tenaga.

“Rusia juga bersedia berusaha bersama dengan China untuk mendorong kerjasama di kalangan negara anggota SCO berdasarkan prinsip tidak mencampuri  urusan dalaman negara masing-masing, untuk mewujudkan platform berwibawa dalam memelihara keselamatan dan kestabilan serantau,” kata beliau.

Presiden Xi menghargai komitmen Rusia berhubung prinsip Satu China dengan menekankan bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China.

“China tegas menentang puak pemisah untuk  ‘kemerdekaan Taiwan’ dan campur tangan luaran. Sebarang negara tidak berhak bertindak sebagai hakim dalam isu Taiwan,” kata Xi.