Kawat Tahniah Xi untuk Forum Antarabangsa Rantai Industri dan Pembekalan

2022-09-19 17:37:12  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping telah mengutus kawat tahniah kepada Forum Antarabangsa tentang Rantai Industri dan Pembekalan yang Berbingkas dan Stabil (International Forum on Resilient and Stable Industrial and Supply Chains) yang dirasmikan di Hangzhou, provinsi Zhejiang pagi tadi.

 

Dalam kawat tahniah tersebut, Xi menunjukkan bahawa melindungi rantai industri dan pembekalan global yang berbingkas dan stabil merupakan jaminan penting bagi mendorong pembangunan ekonomi sedunia, yang selaras dengan kepentingan bersama rakyat pelbagai negara. Oleh itu, China akan terus berusaha memastikan kestabilan dan keselamatan rantai industri dan pembekalan di dalam negeri terjamin, dan mengintensifkan kerjasama antarabangsa dalam bidang tersebut melalui tindakan substantif demi kesejahteraan rakyat pelbagai negara.

 

Xi menekankan bahawa China bersedia bersama-sama pelbagai negara untuk mengambil peluang revolusi sains teknologi dan perindustrian pusingan baharu di samping membentuk sistem rantai industri dan pembekalan global yang selamat, stabil, lancar, berkecekapan tinggi, terbuka, inklusif dan saling menguntungkan sehingga memberi sumbangan bagi mendorong kitaran ekonomi global, pertumbuhan ekonomi sedunia dan peningkatan kesejahteraan rakyat pelbagai negara.

Forum yang bertemakan “berganding bahu mengatasi kesukaran, mendorong pembentukan rantai industri dan pembekalan global yang kental” ini dianjurkan bersama-sama Kementerian Industri dan Informasi, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara, Kementerian Pengangkutan, Pusat Pengajian Pembangunan Dewan Negara dan kerajaan provinsi Zhejiang.