China,Togo Komited Kukuhkan Hubungan Bilateral

2022-09-20 11:43:02  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping dengan rakan sejawatannya dari Togo, Faure Essozimna Gnassingbe pada hari Isnin  saling menyampaikan perutusan tahniah bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Xi berkata bahawa China dan Togo mempunyai persahabatan tradisional yang mendalam.

“Kedua-dua pihak sentiasa merupakan sahabat yang tulus ikhlas, saling menyokong dalam menangani isu yang menjadi kepentingan bersama di tengah-tengah perubahan situasi antarabangsa pada setengah abad lalu sejak terjalinnya hubungan diplomatik kedua-dua negara.

“Kerjasama substantif membuahkan hasil yang merangsangkan dan membawa kesejahteraan sebenar kepada rakyat kedua-dua negara.

“Ketika menghadapi pandemik COVID-19, rakyat kedua-dua negara saling menyokong dan membantu untuk mengharungi kesukaran bersama bagi menempuh vista  baharu dalam konteks hubungan China-Togo,” kata Xi.

Xi berkata bahawa beliau sentiasa melihat perkembangan hubungan China-Togo dari segi strategik.

“Saya bersedia bekerjasama dengan Presiden Gnassingbe mengambil peluang semasa ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara untuk meningkatkan rasa saling percaya dalam bidang politik, memperdalam kerjasama dan pembinaan dalam pelbagai bidang di bawah kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan dan Forum Kerjasama China-Afrika, mendorong hubungan dua hala berkembang ke tahap baharu bagi menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Afrika," kata beliau.

Dalam perutusan tahniahnya, Gnassingbe pula menghargai komitmen China yang konsisten untuk berdiri sebarisan dengan negara-negara Afrika dan mengukuhkan perkongsian China-Afrika demi kemakmuran bersama.

“Togo  berpegang kepada prinsip Satu China dan saya  bersedia untuk bekerjasama dengan Presiden Xi untuk terus mengukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama antara Togo dan China,” kata beliau.