Jepun Digesa Hentikan Rancangan Lepas Air Terawat ke Laut 

2022-09-20 14:55:42  CRI
Share with:

China menggesa Jepun supaya menghentikan rancangan melepaskan air terawat dari loji nuklear Fukushima ke laut.

Demikian dikatakan jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning sebagai respons terhadap kenyataan Tokyo Electric Power Company (TEPCO) baru-baru ini berhubung analisis yang menunjukkan, air sampel yang tercemar nuklear dikesan mempunyai SR-90 yang kepekatan dan keaktifannya mencatat kira-kira tiga kali ganda dari standard kebangsaan Jepun setelah dirawat  menerusi sistem ALPS.

Dalam sidang media pada Isnin, Mao Ning berkata, kenyataan itu membuktikan kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap kebolehpercayaan data Jepun, keberkesanan peralatan penapisan air dan ketidakpastian tentang pengaruhnya terhadap alam sekitar, adalah munasabah dan wajar.

“Walaupun terwujud banyak perkara yang disangsikan mengenai rancangannya melepaskan air yang tercemar nuklear ke laut dan kebimbangan masyarakat antarabangsa yang belum mendapat jawapan, Jepun tetap degil meneruskan rancangan pelepasan dan pembinaan saluran paip pelepasan. Tindakan seumpama itu dianggap sangat tidak bertanggungjawab.

“Laut bukan tong sampah Jepun; dan Lautan Pasifik bukan parit saliran negara itu.

“China menggesa Jepun mempertimbangkan dengan serius kebimbangan semua negara, dengan sungguh-sungguh menunaikan kewajipan antarabangsanya, mengadakan penyelarasan penuh dengan  pertubuhan antarabangsa yang relevan dan pihak berkepentingan termasuk negara jirannya, untuk mencari cara yang betul untuk melupuskan air yang tercemar nuklear berasaskan  kaedah yang saintifik,  telus dan selamat," kata Mao.