Hubungan China, AS Perlu Lebih Banyak Faktor Menentu

2022-09-21 14:31:23  CRI
Share with:

Ahli Dewan Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi menyatakan kerjasama antara China dengan Amerika Syarikat (AS) akan membawa manfaat kepada kedua-dua negara ini bahkan dunia.

Oleh itu, asas politik antara kedua-dua negara perlu dipelihara dengan baik, khususnya prinsip satu China.

Wang Yi berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan wakil diplomatik dan perdagangan AS di New York pada Isnin.

Wang Yi mengatakan bahawa faktor menentu dalam hubungan China-AS semakin berkurang sementara faktor tidak menentu kian bertambah.

Bagaimanapun, menurut Wang Yi, faktor menentu pihak China adalah jelas dan konsisten dan ini dapat dilihat dari prospek pembangunan negara ini.

Kongres Kebangsaan Ke-20 Parti Komunis China (PKC) akan diadakan dalam masa terdekat dan ia akan menetapkan pelan dan sasaran pembangunan China pada masa akan datang. Pembangunan China bukan sahaja akan membawa kesejahteraan kepada lebih 1.4 bilion rakyat negara ini, bahkan akan menyediakan lebih banyak peluang pembangunan kepada dunia termasuk AS.

Wang Yi menyatakan, China akan terus memperkasakan pembaharuan dan keterbukaan, dan menyumbang kepada pembinaan ekonomi dunia yang terbuka dan mendorong globalisasi ekonomi.

Pada masa sama, dasar China terhadap AS adalah konsisten, sementara pihak AS digesa mengamalkan dasar rasional dan pragmatik terhadap Chinadengan.

Wang Yi menegaskan bahawa sikap China untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan AS tidak berubah. China mengalu-alukan firma AS menjalankan perniagaan di China. Hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dengan AS perlu ditingkatkan, tetapi bukan dikurangkan. Kedua-dua pihak patut mengadakan dialog dan muafakat demi kepentingan bersama.