Masyarakat China Giat Bantu Pakistan Atasi Bencana Banjir

2022-09-27 15:02:56  CRI
Share with:

Sumbangan yang dihulurkan China untuk membantu Pakistan menangani bencana banjir memaparkan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara, dan juga sejajar dengan gagasan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Demikian kata Presiden Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC), Lin Songtian ketika berucap dalam upacara penyampaian sumbangan bantuan bencana kepada Pakistan, di Beijing pada Ahad.

Beliau berkata sejak banjir melanda Pakistan, pihaknya giat memobilisasikan segenap masyarakat termasuk persatuan persahabatan di pelbagai tempat serta golongan usahawan untuk menghulurkan tangan membantu kepada negara itu. 

Untuk rekod, CPAFFC menerima sumbangan wang melebihi RMB10 juta (RM6.43 juta) dan barang bantuan bernilai RMB114 juta (RM73.32 juta) setakat Isnin. Sebahagian barang bantuan itu telah dihantar ke kawasan bencana di Pakistan.

Duta Besar Pakistan ke China, Moin Ul Haque dalam upacara itu merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan China.

Menurutnya, bantuan itu tepat pada waktunya dan ia bakal meningkatkan kemampuan Pakistan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana yang menderita akibat banjir.

Beberapa wilayah di Pakistan dilanda banjir teruk sejak pertengahan bulan Jun lalu. Setakat penghujung Ogos, pelbagai jenis bencana susulan hujan lebat menyebabkan kehidupan lebih 33 juta penduduk di negara itu terjejas.