Kerjasama China, Jerman Utuh menerusi Khidmat Rel Kargo

2022-09-27 14:30:16  CRI
Share with:

Perkhidmatan rel kargo China-Eropah mencatatkan prestasi operasi yang mantap dalam tempoh 11 tahun, sekali gus menyaksikan jalinan kerjasama antara China dengan Jerman menjadi lebih utuh.

Demikian kata wakil Konsulat Jeneral China di Hamburg, Jin Wei ketika berucap pada majlis pelancaran operasi laluan rel kargo berkenaan, di Hamburg pada Isnin.

Dilaporkan, tren berkod 'JIN BO'  yang sarat dengan muatan barang antaranya termasuk alat ganti kereta, bertolak dari Hamburg, Jerman menuju ke Shanghai pada hari itu untuk Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi kelima.

Ia merupakan penghantaran kali kedua yang dikendalikan melalui perkhidmatan kereta api laluan terus China-Eropah, yang mengangkut barangan buatan Jerman untuk dipamerkan pada ekspo tahunan di Shanghai itu.

Jin Wei turut menyifatkan majlis pelancaran tersebut sebagai simbolik sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan China-Jerman.

“Tren ‘JIN BO’ membawa maksud yang cukup mendalam kepada Shanghai dan Hamburg kerana jalinan persahabatan antara dua bandar ini sudah selama 36 tahun.

“Kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang kekal utuh, dan menjadi suri teladan kepada pihak lain,” kata Jin.

Beliau mengulangi komitmen China untuk mengekalkan landskap keterbukaan bertaraf tinggi.

“CIIE kembali pada edisi kelimanya pada tahun ini. Untuk tahun yang akan datang, China akan terus meningkatkan pengimportan membabitkan barangan bernilai beberapa trilion dolar. Ia bakal menyediakan peluang perniagaan yang besar kepada syarikat Jerman,” ucap beliau.

Beliau juga menggambarkan pelancaran tren itu sebagai simbolik usaha memantapkan kerjasama China-Jerman.

“China kekal sebagai rakan dagang terbesar Jerman selama enam tahun berturut-turut, dan perkhidmatan kereta api China-Eropah beroperasi antara Hamburg dengan lebih 20 bandar di China.

“Sejarah hubungan dua negara menunjukkan bahawa kerjasama membawakan banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua pihak,” tambah beliau.

Dalam pada itu, pengurus pembangunan perniagaan InterRail Europe GmbH, Alexander Thonert menyatakan, perkhidmatan rel kargo seumpama memudahkan lagi aktiviti perniagaan dijalankan kedua-dua negara menerusi khidmat logistik yang cekap.

“Syarikat kami mengendalikan banyak tren menuju ke Shanghai. Untuk hari ini, ia cukup istimewa sebab ia dimuatkan sebanyak 44 kontena, antaranya terdapat 14 untuk CIIE.

“Kami menyedari, jumlah kargo diurus melalui khidmat rel China-Eropah terus melonjak, dan berharap trend ini dapat dikekalkan,” kata beliau.