China Yakin Dagangan Luar Mampu Kekalkan Prestasi Mantap

2022-09-28 14:04:36  CRI
Share with:

China berkeyakinan sektor perdagangan luarnya mampu terus mencapai pertumbuhan positif pada separuh tahun kedua, meskipun berdepan pelbagai faktor ketidaktentuan. 

Naib Menteri Perdagangan, Wang Shouwen berkata prestasi yang mantap itu bakal menyuntik tenaga positif kepada pemulihan ekonomi negara.

Perdagangan luar China menunjukkan lagi daya tahan dan kedinamikan yang kukuh apabila jumlah import dan eksportnya mencecah RMB27.3 trilion (RM17.56 trilion) dalam lapan bulan pertama tahun ini, meningkat 10.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Wang menegaskan bahawa pembangunan sektor perdagangan ialah penggerak penting kepada pertumbuhan ekonomi, terutamanya dalam konteks ekonomi global masih tidak menentu ketika ini.

"Semua negara perlu menolak amalan perlindungan serta mengurangkan halangan dalam perdagangan dan pelaburan, bagi memastikan sektor berkenaan terus berkembang mantap.

“China komited mengekalkan keterbukaan, menyokong aktiviti pengeksportan syarikat tempatan, di samping mengalu-alukan syarikat asing datang mencari peluang perniagaan," katanya semasa sesi taklimat pada Selasa.