China, Jepun Ikrar Mantapkan Ikatan Bilateral

2022-09-29 14:41:31  CRI
Share with:

China dan Jepun komited bersinergi ke arah membentuk hubungan bilateral yang sejajar dengan keperluan era baharu.

Hasrat itu dizahirkan Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida ketika saling mengirim perutusan tahniah sempena ulang tahun ke-50 pemulihan hubungan diplomatik China-Jepun hari ini.

Xi menerusi perutusan berkata hubungan China-Jepun menyingkap lembaran baharu selepas pemimpin dua negara memutuskan untuk menormalkan jalinan diplomatik lima dekad lalu.

Menurutnya, tempoh 50 tahun menyaksikan kedua-dua negara mencapai empat dokumen politik dan siri konsensus penting, sementara interaksi dan kolaborasi dalam pelbagai bidang terus diperkasa.

Ia telah membawa limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, di samping menggalakkan keamanan dan pembangunan serantau bahkan dunia.

Beliau turut mengulangi kesediaan untuk bersama Kishida mengambil peluang daripada sambutan ulang tahun berkenaan untuk memantapkan hubungan dua hala selaras arus sezaman.

Kishida pula menyatakan Jepun dan China melakar kemajuan besar dalam kolaborasi membabitkan bidang meluas antaranya ekonomi, budaya dan sebagainya sejak 50 tahun lalu.

Beliau menekankan pentingnya kedua-dua negara berganding bahu dalam mencorak masa depan baharu hubungan bilateral.

Katanya, Jepun bersedia bekerjasama dengan China ke arah hubungan dua hala yang lebih konstruktif dan mantap, sekali gus mendorong keamanan dan kemakmuran kedua-dua negara, serantau dan dunia.