China Janji Terus Sedia Kemudahan kepada Pakar Asing

2022-10-01 14:33:51  CRI
Share with:

China akan terus menyediakan kemudahan dan perkhidmatan berkualiti kepada bakat asing yang datang bekerja, di samping meningkatkan sokongan terhadap persekitaran penyelidikan dan platform inovasi mereka.

Demikian kata Perdana Menteri Li Keqiang ketika menemui pakar asing yang dianugerahkan Pingat Persahabatan, iaitu penghormatan tertinggi China kepada tokoh asing, di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada Jumaat.

Li mengucapkan tahniah kepada pemenang pingat tersebut dan memuji sumbangan mereka dalam menggalakkan keterbukaan China serta interaksi muhibah antara China dengan negara-negara lain.

"Pakar asing ialah 'utusan persahabatan' yang menghubungkan China dengan seluruh dunia.

"Kami mengalu-alukan lebih ramai pakar asing mengambil bahagian dalam usaha pemodenan China melalui pelbagai cara," ujarnya.

Beliau menyatakan China merupakan negara membangun terbesar di dunia dan masih banyak yang harus dilakukan untuk merealisasikan pemodenan.

"Tidak kira bagaimana keadaan antarabangsa berubah, China akan sentiasa melakukan yang terbaik dalam setiap usaha sendiri ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.

Tambah beliau, China komited terus memperdalam pembaharuan dan memperluas keterbukaan demi menyuntik dorongan kuat secara berterusan kepada pembangunan negara.