Penyatuan Semula Secara Damai Makin Disokong

2022-10-10 11:54:36  CRI
Share with:

Beijing menyambut baik sikap semakin ramai tokoh yang memahami dan menyokong penyatuan semula China secara damai dan 'satu negara, dua sistem'.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar Mao Ning dalam sesi taklimat di Beijing pada Ahad, sebagai respons terhadap kenyataan pengasas Tesla Elon Musk mengenai Taiwan, yang turut dikritik pihak berkuasa Parti Demokratik Progresif (DPP) sebagai tidak boleh diterima.

Untuk itu, Mao membalas dengan mengatakan provokasi DPP bersubahat dengan kuasa asing serta cubaan untuk mengejar ‘kemerdekaan Taiwan’ menjadi punca ketegangan di Selat Taiwan.

“Hanya dengan tegas menghalang aktiviti pemisah yang menginginkan 'kemerdekaan Taiwan' dan menolak sebarang campur tangan pihak luar, barulah ketenteraman dan kestabilan di selat berkenaan dapat dijamin,” kata beliau.

Mao sekali lagi mengulangi pendirian Beijing bahawa penyatuan semula secara damai dan 'satu negara, dua sistem' merupakan asas penting bagi menyelesaikan isu Taiwan dan cara terbaik untuk merealisasikan penyatuan semula negara.

“Dengan syarat bahawa kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan pembangunan terjamin, Taiwan boleh menerima pakai tahap autonomi yang tinggi sebagai wilayah pentadbiran khas.

"Sistem sosial, cara hidup dan aspek lain akan dihormati sepenuhnya, manakala hak dan kepentingan sah warga Taiwan akan dilindungi sepenuhnya,” jelas beliau.

Mao turut menambah, penyatuan semula China takkan menjejaskan kepentingan sah mana-mana negara. Sebaliknya, ia hanya akan membawa lebih banyak peluang pembangunan kepada negara lain dan menyuntik lebih banyak tenaga positif kepada kemakmuran rantau Asia Pasifik malah dunia.