PM Li: China Berhemah Raikan Kecemerlangan Sebarang Tamadun Manusia

2022-11-11 17:39:37  CRI
Share with:

Perdana Menteri China, Li Keqiang telah mengunjungi Pameran Pencapaian 30 Tahun China-Kemboja dalam Kerjasama dan Interaksi Warisan Budaya di Siem Reap, Kemboja pagi semalam. Selain itu, beliau juga menghadiri upacara penyerahan projek bantuan China ke pihak kemboja berhubung pembaikpulihan Kuil Ta Keo, tapak tinggalan sejarah Angkor Wat di negara itu.

Dalam upacara tersebut, Li berkata, projek Kuil Ta Keo ialah projek pembaikpulihan yang kedua dilaksanakan China dalam rangka tindakan antarabangsa perlindungan Angkor Wat UNESCO, dan dipercayai akan memberi manfaat kepada Kemboja, persahabatan China-Kemboja dan interaksi tamadun.

Menurut Li, China yang mengekalkan pelaksanaan dasar asas yang terbuka, berhemah meraikan kecemerlangan sebarang tamadun manusia, bersedia menjalankan kerjasama yang substantif dengan pelbagai negara dalam pelbagai bidang, dan bertindak senada dengan denyut nadi rakyat demi menyumbang kepada perlindungan keamanan, kestabilan, pembangunan, kemakmuran serantau dan dunia.

Wakil Khas Perdana Menteri Kemboja yang juga Naib Perdana Menteri, Chea Sophara pula berkata, pihaknya berterima kasih terhadap bantuan yang diberikan China dalam bidang pembangunan sosioekonomi dan pewarisan kebudayaan bangsa Kemboja, dan bersedia terus merapatkan interaksi sosiobudaya dan pertukaran tenaga insan dengan China sehingga mendorong hubungan kedua-dua negara mencapai hasil yang baharu.