Bina Hubungan Rakan Pemulihan Ekonomi Global: Xi

2022-11-15 15:59:24  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping menyatakan bahawa globalisasi ekonomi berdepan cabaran, sementara ekonomi dunia menghadapi risiko kemerosotan. Ia akan membawa tempias kepada masyarakat antarabangsa, khususnya negara-negara membangun. Oleh itu, pelbagai pihak harus menggalakkan pembangunan global yang lebih mudah untuk pulih.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat fasa pertama Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Bali, Indonesia pagi tadi.

Presiden Xi mengatakan bahawa pembinaan hubungan rakan pemulihan ekonomi global harus mendahulukan pembangunan dan berpaksikan rakyat, mengambil kira kesukaran negara-negara membangun dan menjaga keprihatinan mereka. China menyokong Kesatuan Afrika menganggotai G20.

Beliau menegaskan, pelbagai negara harus terus meningkatkan kerjasama antarabangsa membendung penularan wabak, dan membina persekitaran baik bagi pemulihan ekonomi.

Dalam pada itu, usaha harus dilakukan untuk mengekang inflasi global dan mengatasi tekanan risiko kewangan sistematik. Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) harus mempercepat proses pemindahan Hak Pengeluaran Khas (SDR) kepada negara-negara berpendapatan rendah, manakala pihak pemiutang utama harus mengurangkan hutang atau melanjutkan moratorium bagi negara-negara membangun.