Xi Jinping Bertemu dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol

2022-11-16 14:00:15  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Yoon Suk-yeol di Bali, Indonesia petang semalam.

Xi menyatakan bahawa China dan Korea Selatan adalah jiran dekat yang bersebelahan dan rakan kerjasama yang tidak dapat dipisahkan. Kedua-dua negara mempunyai tanggungjawab besar untuk memelihara keamanan serantau dan memacu kemakmuran dunia, serta mempunyai  kepentingan bersama yang meluas.

"Tahun ini ialah ulang tahun ke-30 ikatan diplomatik China-Korea Selatan. Sejarah 30 tahun itu membuktikan bahawa perkembangan hubungan dua hala yang sihat dan mantap bersesuaian dengan kepentingan asas rakyat kedua-dua negara.

"China bersedia bersama-sama pihak Korea Selatan untuk memelihara, mengukuhkan dan mengembangkan hubungan kedua-dua negara, agar menyumbangkan kestabilan kepada rantau ini bahkan dunia." kata Xi.

Yoon Suk-yeol pula menyatakan, pihaknya bersedia mengambil peluang daripada sambutan ulang tahun ke-30 ikatan diplomatik kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan kerjasama dengan China berasaskan prinsip saling menghormati dan saling menguntungkan demi kepentingan bersama kedua-dua negara.

Beliau berharap untuk terus mengekalkan pertukaran lawatan dengan China dalam pelbagai peringkat, meningkatkan komunikasi kemanusiaan, memperkukuh persahabatan dalam kalangan rakyat, memelihara sistem perdagangan bebas dan bersama-sama menangani cabaran global.