China, Indonesia Ikrar Mantapkan Lagi Kerjasama

2022-11-17 08:52:03  CRI
Share with:

China bersedia untuk terus memperdalam penyelarasan antara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan gagasan Fulkrum Maritim Global Indonesia, dan berusaha memastikan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung disiapkan seawal mungkin.

Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping dalam rundingan dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di pulau Bali, pada Rabu.

Beliau menyarankan kedua-dua pihak terus mempergiat pembangunan ‘koridor ekonomi komprehensif serantau’ dan ‘dua negara, dua taman’ bagi meningkatkan kerjasama dua hala ke tahap lebih tinggi.

Xi berkata China mengalu-alukan pengimportan lebih banyak produk unggul dari Indonesia, di samping menggalakkan syarikat domestik yang berprestij menyertai projek pembangunan infrastruktur utama di negara itu. 

“Sebagai wakil negara membangun besar dan negara pasaran baru muncul, China dan Indonesia perlu mempertahankan multilateralisme jitu, menumpukan kepada pembasmian kemiskinan, keselamatan makanan dan pembiayaan pembangunan, dan membina projek ikonik berorientasikan Inisiatif Pembangunan Global.

“Ia adalah untuk menyumbang kepada pembangunan sejagat yang lebih kuat, mesra alam dan sihat, serta mendorong tadbir urus global ke arah lebih adil dan munasabah,” ujar beliau.

Jokowi dalam ucapannya pula menzahirkan komitmen untuk bersinergi dengan China bagi memastikan HSR Jakarta-Bandung beroperasi pada tahun depan seperti yang dijadualkan.

Beliau juga menyatakan kepuasan hati dan penghargaannya atas kerjasama kedua-dua pihak dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengeluaran vaksin COVID-19.

Jokowi turut berharap agar kedua-dua pihak terus memperkasa kerjasama strategik dan pragmatik, di samping membina komuniti berkongsi nasib sesama negara.

Terdahulu sebelum rundingan itu berlangsung, pemimpin kedua-dua negara telah menyaksikan operasi HSR Jakarta-Bandung secara percubaan dan pameran hasil kerjasama bilateral menerusi video.