AS Digesa Henti Ganggu Rantaian Perindustrian Global

2022-11-26 14:57:50  CRI
Share with:

Sebarang gangguan sewenang-wenangnya atau kerosakan terhadap rantaian perindustrian dan bekalan global tidak selaras dengan kepentingan mana-mana pihak, dan takkan mendapat sokongan.

Pendirian itu ditegaskan oleh jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning semasa taklimat harian di Beijing, pada Jumaat.

Terdahulu, gabungan pemain industri utama Amerika Syarikat (AS) menerusi surat kepada pemimpin tertinggi Demokrat dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera, Senator Jack Reed dan ahli jawatankuasa itu James Inhofe, mengkritik pindaan Akta Kebenaran Pertahanan Negara (NDAA) 2023 yang melarang agensi kerajaan berurus niaga dengan pembuat semikonduktor China, tidak mempunyai asas undang-undang dan akan memberikan beban yang besar kepada kontraktor dan kerajaan.

Untuk itu, Mao membalas dengan mengatakan NDAA pada dasarnya adalah perundangan domestik AS.  

"Kami (China) tegas menolak tindakan memasukkan kandungan negatif berkaitan China ke dalam rang undang-undang berkenaan.

"Rantaian perindustrian dan bekalan global, hasil yang diwujud daripada peraturan pasaran dan pilihan perusahaan.

"AS harus mendengar suara rasional sepertimana yang dikatakan menerusi surat berkenaan, dan berhenti mempolitikkan isu ekonomi, dagangan dan teknologi atau menggunakannya sebagai senjata dan ideologi,” ujar Mao.

Jurucakap itu turut menggesa AS supaya berhenti menyekat dan menindas syarikat China, menghormati peraturan ekonomi pasaran dan perdagangan bebas, serta mempertahankan keselamatan dan kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan global.