Guru Sukarelawan Jatuh Cinta Mengajar di Desa

2022-12-06 16:15:39  CRI
Share with:

Yuan Hui yang lahir pada 1988, merupakan seorang guru sukarelawan berdedikasi terhadap pendidikan di kawasan desa.

Ketika berusia 14 tahun, Yuan yang berasal dari sebuah kampung kecil di Xuzhou, provinsi Jiangsu bersama ibu bapa berpindah ke bandar untuk meneruskan pelajaran di sana. 

Pengalaman itu menjadikan Yuan lebih memahami aspirasi kanak-kanak di kawasan desa terhadap pendidikan. 

Ketika di bangku sekolah menengah, dia mencetuskan idea untuk menjadi seorang guru sukarelawan ditempatkan di kawasan luar bandar.

Setelah tamat pengajian di universiti pada 2012, Yuan diterima bertugas di Jiangjiawan di kaunti Badong, provinsi Hubei.

Pada saat itu, Badong yang terletak di kawasan pergunungan adalah sebuah kaunti berstatus miskin tegar.

Meskipun kondisi kerja agak sulit, namun tekad Yuan untuk mengajar di situ langsung tidak goyah.

Berkat kesungguhan Yuan, ramai pelajar di sana berjaya keluar dari pergunungan dan memasuki universiti berprestij dalam tempoh sedekad lalu.

Yuan amat gembira melihat pelajar-pelajar yang pernah mendapat bantuannya terus membantu kanak-kanak di kawasan pergunungan melalui pelbagai cara.

Berakar umbi di kawasan pergunungan selama sedekad, Yuan kini masih menghadiri kelas selaku seorang guru sukarelawan.

Subsidi bulanan yang diterimanya kebanyakan dibelanjakan untuk pelajar.

Sepanjang tempoh tersebut, Yuan juga menolak banyak peluang untuk meninggalkan kawasan pergunungan dan kembali ke bandar. 

Bagi guru sukarelawan itu, dia amat berpuas hati kerana dapat menjalani kerjaya yang dicintai sendiri hingga mendalami nilai dan kegembiraan hidup.