Ucapan Xi Sempena COP15 Dapat Pujian

2022-12-18 12:36:49  CRI
Share with:

Ucaptama disampaikan Presiden Xi Jinping sempena perasmian segmen peringkat tinggi fasa kedua mesyuarat ke-15 Persidangan Pihak-Pihak (COP15) Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD), mendapat pujian tokoh-tokoh antarabangsa.

Setiausaha Eksekutif CBD Elizabeth Mrema menyifatkan ucapan Xi sebagai menyampaikan mesej yang amat penting.

“Presiden Xi menekankan peri pentingnya multilateralisme, pemerkasaan kolaborasi antarabangsa dan pembinaan konsensus, serta menggerakkan penggubalan rangka kerja biodiversiti sejagat pasca 2020.

“Beliau juga bercakap tentang manfaat ketara ekosistem yang kukuh, ia sangat penting untuk memajukan proses rundingan,” kata Mrema.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Suruhanjaya Eropah, Florika Fink-Hooijer memuji ucapan Xi sebagai amat menggalakkan.

“Presiden Xi berharap masyarakat antarabangsa memanfaatkan persidangan kali ini ke arah mendorong simbiosis antara manusia dan alam serta membina konsensus global mengenai pemuliharaan biodiversiti.

“Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya ialah penekanan tentang pentingnya menjaga orde global yang adil dan munasabah untuk pemuliharaan biodiversiti, di samping menegakkan multilateralisme jitu dan sistem antarabangsa berteraskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Semua ini akan membantu kita membentuk sinergi yang kuat,” ujar beliau.