Pesawat C919 Mulakan Penerbangan Ujian Pengesahan

2022-12-26 15:13:07  CRI
Share with:

Pesawat penumpang C919 pertama yang dikaji dan dibangunkan China sendiri memulakan penerbangan ujian pengesahan selama 100 jam pagi tadi.

Pesawat penumpang bersaiz besar itu dijangka digunakan untuk operasi komersial pada musim bunga tahun depan selepas menyelesaikan semua ujian pengesahan.

Pengoperasian pesawat C919 diyakini akan menamatkan monopoli syarikat Boeing dan Airbus terhadap pasaran pesawat penumpang besar kegunaan awam global sejak sekian lama. 

Ketua pereka pesawat C919, Wu Guanghui berkata bilangan pesawat China dan dunia dianggarkan masing-masing meningkat kira-kira sekali ganda dalam tempoh dua dekad akan datang.

"Dalam konteks ini, ia dapat menampung pasaran ketiga dan keempat kami. 

"Pasaran adalah bersifat kerjasama menang-menang, jadi pelanggan juga perlu ditawarkan lebih banyak pilihan,”ujar beliau.

C919 buat julung kalinya mengadakan pertunjukan udara sempena Pameran Penerbangan dan Aeroangkasa Antarabangsa China edisi ke-14 pada 8 November.

Penampilan itu pula membantu Perbadanan Pesawat Komersial China (COMAC) meraih tempahan sebanyak 300 buah pesawat berkenaan.

Setakat 12 Disember, C919 telah memperoleh sebanyak 1,176 tempahan daripada 28 pelanggan di dalam dan luar negeri.

Sebagai simbol pembuatan kelas tinggi, rantaian perindustrian pesawat bersaiz besar itu melibatkan hampir 300,000 orang petugas dan kakitangan dari lebih 1,000 perusahaan domestik, institusi pengajian tinggi dan akademi sains.

Proses penyelidikan dan pembangunan pesawat C919 turut menyaksikan kemajuan signifikan membabitkan 163 teknologi kritikal.