China Harap Lawatan Presiden Iran akan Tingkatkan Hubungan Dua Hala

2023-02-14 15:21:19  CRI
Share with:

China berharap dapat bersama-sama Iran untuk mengambil peluang daripada lawatan Presiden Iran ke China untuk memperkasakan perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara.

Demikian dikatakan jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam sidang taklimat pada Isnin.

Menurutnya, sempena lawatan pertama Presiden Ebrahim Raisi ke China kali ini, Presiden Xi Jinping akan mengadakan rundingan dengan Presiden Raisi, membincangkan arah perkembangan hubungan kedua-dua negara, di samping bertukar-tukar pendapat tentang isu serantau dan antarabangsa yang diberikan perhatian bersama.

Wang Wenbin berkata, China dan Iran mempunyai hubungan persahabatan yang bersejarah. Oleh itu, mengukuhkan dan mengembangkan hubungan merupakan pilihan strategik bersama kedua-dua negara.

Pada beberapa tahun kebelakangan ini, menurut Wang, dengan pimpinan presiden Xi dan Presiden Raisi, hubungan China-Iran mengekalkan trend pembangunan yang baik, sementara kepercayaan politik terus diperkukuh dan kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang terus diperkasakan.

China berharap bersama-sama Iran, mengambil peluang lawatan Raisi ke China untuk meningkatkan hubungan dua hala, sekali gus memainkan peranan membina untuk merapatkan perpaduan dan kerjasama negara-negara Asia Barat, malah menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan serantau.