Xi Ucap Simpati atas Bencana Siklon Tropika di Malawi, Mozambik

2023-03-23 13:13:12  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping secara berasingan menzahirkan ucapan simpati kepada Presiden Malawi, Lazarus McCarthy Chakwera dan Presiden Mozambik, Filipe Jacinto Nyusi atas bencana siklon tropika Freddy yang melanda kedua-dua negara tersebut pada Isnin.  

Xi menyatakan beliau terkejut setelah mendengar berita berhubung bencana tersebut telah mengakibatkan kematian dan kecederaan dalam bilangan besar dan kerugian harta benda yang serius di Malawi dan Mozambik.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat China, saya menyampaikan takziah kepada mangsa dan rasa simpati kepada keluarga mangsa serta mereka yang tercedera,” kata Xi.

Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa Malawi dan Mozambik pasti dapat mengatasi bencana dan membangunkan semula kampung halaman masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Palang Merah China memutuskan akan menyumbangkan bantuan kecemasan berbentuk wang tunai sebanyak USD100 ribu (RM 443 ribu) kepada Persatuan Palang Merah Malawi dan USD50 ribu (RM221.5 ribu) kepada Persatuan Palang Merah Mozambik untuk menyokong kedua-dua negara menjalankan tugasan pertolongan dan penyelamatan.