China, Vietnam Anjur Mesyuarat ke-15 Jawatankuasa Pemandu Kerjasama Bilateral

2023-12-02 16:14:26  CRI
Share with:

Mesyuarat ke-15 Jawatankuasa Pemandu Kerjasama Bilateral China-Vietnam berlangsung di Hanoi pada Jumaat.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar China Wang Yi dan Timbalan Perdana Menteri Vietnam Tran Luu Quang.

Wang berkata kedua-dua negara perlu mengekalkan komunikasi strategik peringkat tinggi, terus membina konsensus dan meningkatkan rasa saling percaya antara satu sama lain.

Usaha harus dilakukan untuk mengukuhkan mekanisme kerjasama melibatkan pertahanan dan keselamatan, selain memperdalam kerjasama keselamatan bukan tradisional seperti usaha membanteras keganasan dan jenayah penipuan telekomunikasi.

Kedua-dua pihak hendaklah memperkasakan kolaborasi dalam bidang perdagangan, kesalinghubungan dan perlombongan, dan bersama membina rantaian perindustrian dan bekalan yang stabil, lancar dan saling menguntungkan.

Antara aspek lain yang diberi penekanan termasuk pertukaran membabitkan media, pelancongan dan budaya serta golongan belia dalam usaha meningkatkan persefahaman sesama rakyat.

Beliau turut menyeru Vietnam berganding bahu dengan China untuk mempertahankan keadilan antarabangsa, mengamalkan multilateralisme jitu dan saling menyokong ketika menghadapi isu-isu yang menjadi keprihatinan bersama.

Adalah perlu mematuhi konsensus peringkat tinggi, mengawal perselisihan melalui dialog, giat mendorong kerjasama maritim dan menjaga ketenteraman Laut China Selatan, tambah Wang.

Tran Luu Quang pula berkata pihaknya bersetuju dengan rancangan China mengenai pembangunan hubungan dua hala pada fasa seterusnya.

Selain menggalakkan kerjasama dalam pelbagai bidang, Vietnam juga bersedia bersama China untuk mendorong rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan.