Xi Sampai Ucapan Bertulis Sejurus Tiba di Paris
Presiden China Xi Jinping menyampaikan ucapan bertulis sejurus tiba di lapangan terbang Paris untuk memulakan lawatan ke Perancis pada Ahad.
Xi berkata sepanjang enam dekad lalu, hubungan China-Perancis sentiasa berdiri di barisan hadapan hubungan China dengan negara Barat, sekali gus menjadi suri teladan hidup bersama secara damai dan kerjasama saling untung antara negara dengan sistem sosial berbeza.
Pada beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan kedua-dua negara mengekalkan perkembangan bertaraf tinggi, menyaksikan ikatan kerjasama membuahkan hasil baharu dalam bidang penerbangan, aeroangkasa, tenaga nuklear, agromakanan, sektor hijau dan lain-lain.
Dua negara juga menjalankan sinergi yang rapat dalam isu perubahan iklim, perlindungan biodiversiti dan tadbir urus global.
Perkembangan hubungan China-Perancis bukan sahaja membawa limpahan manfaat buat rakyat dua negara, malah menyuntik kestabilan dan tenaga positif kepada dunia yang bergolak.
Beliau berharap lawatan kali ini dapat memperkukuh persahabatan tradisional, meningkatkan kesalingpercayaan politik, mengumpul konsensus strategik serta memperdalam pertukaran dan kerjasama antara China dengan Perancis demi mencipta masa depan lebih indah untuk hubungan bilateral sekali gus menyumbang kepada kedamaian, kestabilan dan pembangunan dunia.