Kerjasama Pragmatik China-Serbia Berasaskan Persahabatan Sejati, kata Presiden Vucic
Menjelang lawatan Presiden China Xi Jinping ke Serbia, Presiden Serbia Aleksandar Vucic menerima wawancara eksklusif oleh Kumpulan Media China (CMG) mutakhir ini.
Vucic menyatakan, beliau sebanyak 15 kali mengeluarkan undangan kepada Presiden Xi supaya mengadakan lawatan ke Serbia, kerana menganggap Xi sebagai "sahabat sejati".
"Lawatan Presiden Xi ke Serbia pada tahun 2016 masih segar dalam ingatan saya. Ketika kami melakukan kunjungan ke kilang keluli Smederevska yang dibebani kerugian besar pada masa itu, sahabat kami Presiden Xi menzahirkan komitmen untuk menghulurkan bantuan.
"Selepas itu sebanyak lebih 5,000 peluang kerja baharu dicipta di kilang berkenaan, yang turut membawa faedah kepada lebih 10,000 keluarga. Perkara itu amat signifikan, tetapi hanya salah satu perkara daripada hubungan persahabatan yang kukuh antara Serbia dengan China," kata Vucic.
Berbicara mengenai lawatan Presiden Xi ke Serbia pada bulan ini, Vucic penuh keyakinan bahawa lawatan beliau pasti akan mencapai kejayaan kerana ia bersesuaian dengan kepentingan rakyat kedua-dua negara.
Untuk rekod, China dan Serbia telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) di Beijing, sempena Forum Kemuncak Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan edisi ketiga di Beijing pada Okt 2023.
"Nilai perdagangan kedua-dua negara merekodkan USD6.1 bilion pada masa ini. Saya percaya angka itu akan berganda dua tiga kali malah lebih banyak, dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Selain itu, jambatan pertama yang dibina oleh syarikat China di Eropah terletak di Serbia; lebuh raya pertama yang dibina oleh syarikat China di Eropah juga di Serbia, begitu juga landasan kereta api berkelajuan tinggi Hungary-Serbia pula bermula dari ibu negara Serbia, Belgrade.
Bagi Vucic, hubungan Serbia-China yang mendahului negara lain tidak dapat berpisah dari kerjasama pragmatik dan hubungan persahabatan kukuh kedua-dua negara.