Delegasi Pemenang Hadiah Tong Chuang Melawat Persatuan Penulis China

2024-05-30 16:57:26  CRI
Share with:

 

Bersempena dengan ulang tahun ke-50 ikatan diplomatik China-Malaysia, Persatuan Penulis China menerima kunjungan delegasi pemenang Hadiah Tong Chuang Malaysia di Muzium Kesusasteraan Moden China di Beijing pada Khamis.

 

Setiasausaha Sekretariat Persatuan Penulis China Hu Bangsheng, Naib Pengerusi Persatuan Penulis China Chen Yan, dan wakil-wakil penulis tempatan menerima kunjungan delegasi itu serta mengadakan komunikasi dengan mereka.

 

Chen Yan mengucapkan tahniah kepada para pemenang Hadiah Tong Chuang.

 

Beliau berkata, China dan Malaysia merupakan jiran bersahabat yang berkongsi nasib. Sejak penjalinan hubungan diplomatik pada 50 tahun lalu, kalangan kesusasteraan kedua-dua negara mengekalkan pertukaran dan interaksi rapat.

 

"Persatuan Penulis Cina Malaysia dan Persatuan Penulis China telah menjalankan kerjasama sejak sekian lama. Pusat Budaya Han Malaysia dan Persatuan Penulis China telah bersama melancarkan pelbagai aktiviti dan mendirikan kelab pembaca.

 

"Pada masa yang sama, karya kesusasteraan Cina dari Malaysia pula dibawa ke China pada tahun-tahun kebelakangan ini dan mendapat sambutan baik,” kata Chen Yan.

 

Chen menambah bahawa kita dapat melihat masa depan kesusasteraan Cina di Malaysia melalui pemenang Hadiah Tong Chuang yang cukup bersemangat hari ini.

 

Pengasas bersama Hadiah Tong Chuang, yang juga ahli juri Hadiah Kesusasteraan Cina Malaysia, Puah You Lai menyatakan bahawa kesusasteraan Cina di Malaysia mempunyai kaitan rapat dengan kesusasteraan di China.

 

“Melalui kunjungan kali ini, kami berpeluang bertukar-tukar pendapat dan belajar dengan penulis China, dan saya rasa ia pasti akan menyuntik keyakinan dan kekuatan kepada organisasi dan individu yang mencintai kesusasteraan Cina di luar negeri China.

 

“Selain itu, kami juga berpeluang melihat pembangunan China yang menakjubkan dalam lawatan kali ini," kata Puah.

 

Ditubuhkan pada tahun 2015, Hadiah Tong Chuang Malaysia diadakan dua tahun sekali, anjuran pertubuhan kalangan rakyat tempatan.