Konfrontasi Tidak Bantu Selesai Isu Nuklear Iran: Wakil China

2024-06-06 12:35:43  CRI
Share with:

Konfrontasi tidak akan membantu menyelesaikan isu nuklear Iran, sebalik menghidupkan semula perjanjian nuklear Iran adalah satu-satunya penyelesaian kepada isu berkenaan.


Wakil Tetap China ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Li Song membuat kenyataan itu selepas Lembaga Gabenor IAEA meluluskan satu resolusi dicadangkan Perancis, Britain dan Jerman bagi memberi tekanan kepada Teheran mengenai isu nuklear.

 

Daripada 35 anggota lembaga gabenor, China dan Rusia mengundi menentang resolusi itu manakala 12 negara membangun termasuk Afrika Selatan, India, Arab Saudi, Indonesia dan Turkiye berkecuali.

 

Li berkata lawatan Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi ke Iran pada awal Mei amat berjaya dengan hasil mengekalkan interaksi yang bersifat membina dengan Iran dan kedua-dua pihak komited memajukan kerja pemantauan IAEA di Iran.

 

"Iran baru sahaja keluar daripada perkabungan negara berikutan pemergian Presiden Ebrahim Raisi dan bersiap untuk mengadakan pilihan raya akhir bulan ini.

 

"Dalam konteks ini, tindakan sesetengah negara menghasut konfrontasi dengan tujuan politik adalah tidak konstruktif dalam menggerakkan penyelesaian isu nuklear Iran," ujar Li.


China menggesa semua pihak meneliti situasi semasa dengan sikap tenang dan bertanggungjawab serta memelihara sistem pengawalan dan pelucutan senjata nuklear antarabangsa.

 

"Diharap pihak terbabit mengambil tindakan konkrit untuk menyokong pengukuhan kerjasama antara IAEA dengan Iran, dan membawa penyelesaian isu nuklear Iran menerusi pendekatan politik dan diplomatik kembali ke landasan yang betul," tambah beliau.