Pengecualian Kos Penghantaran di Xinjiang dan Tibet

2024-10-10 13:14:48  CRI
Share with:

Membeli-belah dalam talian telah banyak mengubah kehidupan kami di sini. Hampir setiap hari rumah Satria akan menerima bungkusan yang dibeli secara dalam talian. Bukan hanya saya dan isteri sahaja yang biasa membeli baju, kasut dan barangan harian lain, bahkan ibu saya juga sudah mahir membeli bahan makanan secara dalam talian.

 

Kira-kira 10 tahun yang lalu, ramai pelajar berkecenderungan memilih melanjutkan pengajian di universiti di sekitar Shanghai atau provinsi Jiangsu dan Zhejiang. Ini disebabkan, banyak produk harian yang dikeluarkan dari kawasan tersebut menawarkan pengecualian kos penghantaran kepada para pembeli di sekitar kawasan itu. Maksudnya, kos penghantaran adalah percuma.

 

Berikutan perkembangan e-dagang, jaringan infrastruktur dan logistik, para pembeli dari hampir semua wilayah di China telah diberikan pengecualian kos penghantaran dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

 

Antara faktor yang menyumbang kepada situasi ini adalah perkembangan pesat serta permintaan tinggi dalam e-dagang. Jumlah penghantaran yang meningkat secara besar-besaran telah menurunkan kos penghantaran, malah platform atau penjual juga bersedia untuk menampung kos tersebut dengan tujuan menarik lebih ramai pembeli.

 

Tapi pembeli dari Xinjiang dan Tibet masih dikenakan kos penghantaran.

 

Xinjiang dan Tibet mempunyai keluasan yang sangat besar, bahkan jika diukur keluasannya lebih kurang sama dengan 8 buah negara Malaysia, namun populasinya adalah kurang jika dibandingkan dengan Malaysia. Tambahan pula banyak tempat di Xinjiang dan Tibet adalah kawasan penggunungan atau padang pasir, ini menjadikan jarak antara pembeli yang paling dekat mungkin ratusan kilometer. Ini menjadikan kos penghantaran barangan di kawasan terpencil di Xinjiang dan Tibet jauh lebih mahal berbanding tempat lain, bahkan mungkin lebih mahal berbanding harga barangan yang dibeli.

 

Namun bermula tahun ini, para platform e-dagang turut menawarkan perkhidmatan penghantaran dengan pengecualian kos bagi pembeli di kawasan Xinjiang dan Tibet.

 

Satria amat menghargai usaha ini kerana setiap pembeli patut menikmati hasil pembangunan e-dagang yang sama rata, kerana boleh dikatakan China merupakan perintis bagi perkhidmatan e-dagang di dunia.

 

Bagaimanapun kita tidak boleh menafikan faktor geografi. Justeru penyelesaian kepada permasalahan ini adalah dengan meningkatan jumlah penghantaran dalam usaha untuk menurunkan kosnya.

 

JD.com sejak awal lagi telah membangunkan gudang di beberapa bandar besar di Xinjiang dan Tibet, serta menyiapkan pelbagai jenis barangan harian, dengan tujuan untuk mengurangkan kos logistik. Ini merupakan satu percubaan yang baik. Melihatkan kepada persaingan yang sengit dalam industri ini, pelbagai syarikat e-dagang yang lain dijangka turut akan menubuhkan gudang di Xinjiang dan Tibet.

 

Bukan itu sahaja, pelbagai platform lain juga perlu mengambil langkah sama supaya dapat menjamin dasar pengecualian kos penghantaran dengan tidak membebankan penjual serta pembeli. Sekiranya berjaya, sektor e-dagang di Xinjiang dan Tibet pasti menjadi semakin aktif sekaligus mewujudkan perkembangan yang sihat dan mapan.

 

Berdasarkan statistik, menerusi percubaan pengecualian kos penghantaran, jualan Tmall di Xinjiang meningkat 140% semasa pesta beli-belah e-dagang berlangsung pada 18 Jun lalu. Jumlah ini dijangka terus meningkat menjelang pesta beli-belah 11.11 nanti.

 

Pada masa yang sama, perkhidmatan penghantaran juga beransur-ansur akan disediakan kepada para pembeli di kawasan kampung dan pedalaman di Xinjiang serta Tibet dengan kos yang rendah, sekaligus merangsang lebih banyak penjual dari kawasan ini untuk menggunakan platform e-dagang dan mempromosi produk khas tempatan dijual ke seluruh negara dengan lebih mudah dan efisyen.