Walau bagaimanapun, pada suatu hari dalam bulan Mac 2002, kebetulan Kao Chin Su-mei nampak sebuah gambar yang digantung di dinding studio kawannya. Dalam gambar itu seorang anggota tentera Jepun sedang memancung kepala pejuang kaum Atayal.
Pada saat beliau terpandang gambar itu, beliau hampir terjatuh kerana terlalu terkejut.
"Itu adalah kepala nenek moyang saya! Apa telah terjadi di bumi kita? Bagaimanakah kehidupan orang Atayal? Siapakah saya? Bagaimanakah kita menceritakan sejarah kaum kita kepada generasi yang akan datang? Soalan-soalan tersebut terus menghantui fikiran beliau.
Oleh sebab tiada sebarang catatan tentang sejarah orang asli dalam teks sejarah sekolah di Taiwan, Kao Chin Su-mei memutuskan untuk mengkaji sendiri tentang sejarah itu.
Selepas itu, Kao Chin Su-mei telah menghabiskan masa tiga tahun untuk melawat ke setiap kampung orang asli di Taiwan dan mendapatkan semua catatan tentang sejarah orang asli yang masih disimpan.
Beliau mendapati bahawa dalam tempoh dari tahun 1895 hingga tahun 1945 iaitu masa Taiwan dijajah oleh Jepun, banyak nyawa orang asli telah diragut dan tanah mereka dirampas oleh tentera Jepun. Beliau mengenal identiti dirinya dan tanggungjawab yang perlu dipikulnya. Sejak itulah, beliau bertekad untuk tampil memelihara kepentingan hidup, hak asasi manusia dan hak milik tanah orang asli.
Pada bulan Jun 2005, Kao Chin Su-mei buat pertama kalinya mengetuai rombongan yang terdiri daripada 56 orang asli Taiwan ke Tokyo, Jepun untuk membuat bantahan di depan Yasukuni Jinja demi menuntut pihak yang berkenaan memulangkan papan nama nenek moyang mereka yang diletakkan di dalam kuil itu.
Menurut Kao Chin Su-mei, dalam masa pendudukan Jepun, lebih 20 ribu orang muda kaum minoriti di Taiwan direkrut oleh tentera Jepun dengan cara paksa atau diperdaya. Mereka semua dihantar ke medan perang di Asia Tenggara dan Pasifik, kebanyakannya terbunuh dan tidak sampai 1/3 sahaja yang terselamat. Selepas Perang Dunia Ke-2 berakhir, papan nama lebih daripada 2000 orang asli Taiwan yang terbunuh itu diletakkan di dalam Yasukuni Jinja iaitu tempat peringatan penjenayah perang Jepun.
Kao Chin Su-mei menganggap hal ini merupakan penghinaan yang tidak terhingga terhadap nenek moyangnya.
Dalam masa dari tahun 2002 hingga tahun 2009, lebih 10 kali Kao Chin Su-mei mengetuai rombongan ke Jepun untuk menuntut supaya papan nama nenek moyang mereka itu diserahkan kepada Taiwan. Walaupun perjuangan mereka menghadapi banyak kesulitan, malah disabotaj oleh kerajaan Jepun, tetapi kesukaran itu tidak pernah menggugat keyakinannya.