Antara tahun 1980-an dan 1990-an, Kao Chin Su-mei yang dikenali sebagai Chin Su-mei itu telah memenangi anugerah pelakon wanita terbaik dalam Festival Filem San Diego dengan watak yang dibawanya dalam filem "May Jean". Setelah mencapai kemuncak kerjayanya sebagai pelakon selama 18 tahun, Chin Su-mei memutuskan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan pakaian pengantin.
Malang tidak berbau, kebakaran yang berlaku di butik Chin Su-mei pada tahun 1995 telah meragut nyawa enam orang kakitangannya. Tragedi ini menjadi titik hitam pertama dalam hidupnya.
Ketika Chin Su-mei sedang beransur pulih daripada kesan tragedi tersebut, gelombang kedua yang lebih hebat sudah menunggunya.
Pada tahun 1999, Chin Su-mei didiagnosis menghidap kanser hati. Dalam masa dirawat di hospital, beliau selalu menangis apabila ahli keluarganya tidak ada di sisinya. Beliau tidak faham mengapa beliau diserang penyakit itu.
Pada 21 September 1999, hati Chin Su-mei tersentuh ketika menonton TV yang menyiarkan berita tentang gempa bumi yang dahsyat di Taiwan. Pada waktu itu, Chin Su-mei sedang menyambut hari jadinya yang ke-34 bersama-sama ahli keluarga dan sahabat handai selepas menjalani pembedahan kanser hati. Melihat kehilangan nyawa dan kemusnahan rumah yang hanya berlaku dalam masa beberapa puluh saat sahaja itu, kekuatan mula terkumpul di tubuh Chin Su-mei yang lemah itu.
Dengan perasaan seperti dilahirkan semula, Chin Su-mei yang belum sembuh sepenuhnya pada masa itu telah pergi ke kampung orang asli di kawasan bencana itu dengan mengikut pasukan penyelamat pertubuhan amal. Chin Su-mei tidak menyangka bahawa saudara sekaumnya masih miskin seperti dahulu. Kesedihan yang sentiasa menyelubungi beliau itu telah menjadi pendorong kepada beliau untuk membantu orang asli tempatan.
Untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada golongan orang asli, Chin Su-mei memutuskan untuk menceburkan diri dalam arena politik.
Beliau begitu giat berkempen dalam pemilihan wakil rakyat di kawasan Taiwan. Untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi tentang keadaan hidup orang asli pada masa ini, Chin Su-mei telah melawat ke setiap kawasan yang didiami oleh orang asli. Dan pada masa itulah, Chin Su-mei mula menggunakan nama keluarga ibunya "Kao" di depan nama asalnya. Dengan usaha yang gigih, Kao Chin Su-mei berjaya dipilih sebagai wakil rakyat orang asli pada 1 Disember tahun 2001.
"Walaupun baru menjalani pembedahan yang besar, kekuatan pada diri Kao Chin Su-mei memperlihatkan sepenuhnya kekuatan yang ada pada dirinya. Beliau sedar akan makna wujudnya satu-satu nyawa di dunia ini tidak patut dinilai melalui jangka hayatnya, tetapi kesannya iaitu apa yang telah kita lakukan.
Kini, Kao Chin Su-mei terus berusaha untuk mempromosi dan melindungi sejarah dan budaya orang asli di Taiwan. Selain itu, beliau juga banyak melibatkan diri dalam aktiviti yang dapat meningkatkan hubungan antara Taiwan dengan Tanah Besar.