|

 Menurut Agensi Berita Xinhua China, pada awal pagi 15 November ini, satelit komunikasi yang dikaji dan dibuat oleh China telah dilancarkan dengan roket pembawa A3 “Long March” di Pusat Pelancaran Satelit Xichang, bahagian barat daya China. Satelit itu dengan jitu memasuki orbit yang ditetapkan. Ini merupakan kemenangan kali keempat bagi China dalam bidang pengkajian angkasa lepas setelah kapal angkasa lepas pembawa angkasawan berjaya dilancarkan pada bulan yang lalu.
Dilaporkan lagi, Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Pengkajian Angkasa Lepas Negara China, Ruan Enjie semalam di Beijing menyatakan, China akan meningkatkan kerjasama dengan negara-negara rantau Asia Pasifik dalam bidang pengkajian angkasa lepas, menggunakan teknologi angkasa lepas untuk mendorong pembangunan yang berterusan sosioekonomi serantau.
Dalam upacara penamatan “Kursus Penggunaan Teknologi Angkasa Lepas dan Kawalan Jauh Kerjasama Pelbagai Hala Asia Pasifik” ke-3 yang diadakan semalam, Ruan Enjie berkata, penggunaan teknologi angkasa lepas telah mendorong pembangunan sosioekonomi negara-negara membangun. Tetapi potensi teknologi angkasa lepas serta penggunaannya di rantau Asia Pasifik masih belum disedari sepenuhnya. Beliau berpendapat, abad ke-21 merupakan zaman angkasa lepas. Melalui kerjasama antarabangsa, teknologi kawalan jauh dan komunikasi menerusi satelit akan digunakan dalam bidang yang lebih luas di rantau Asia Pasifik.
|