Tibet merupakan sebuah wilayah autonomi di bahagian barat daya China dan bersempadan dengan Myanmar, India, Bhutan dan Nepal. Wilayahnya seluas 1.22 juta kilometer persegi. Penduduknya berjumlah 2.62 juta orang. Rakyat Tibet kebanyakan beragama Buddha Tibet. Di merata tempat di Tibet terdapat tokong yang cantik.
Untuk memeriahkan Hari Kebangsaan Thailand dan juga sambutan ulang tahun ke-76 Raja Thailand, Baginda Bhumibol Adulyadej pada 5 Disember ini dan meningkatkan persahabatan China-Thailand, China akan mengadakan aktiviti “Minggu Kebudayaan Tibet China 2003” di Thailand mulai 5 hingga 18 Disember ini. Delegasi China yang menyertai aktiviti itu terdiri daripada 70 orang. Mereka tiba di Bangkok pada 2 Disember ini.

Naib Pengerusi Kerajaan Wilayah Autonomi Tibet, Pelma Trile
Sebelum itu, wartawan radio CRI telah mewawancara ketua delegasi rombongan kebudayaan tersebut, yang juga Naib Pengerusi Kerajaan Wilayah Autonomi Tibet, Pelma Trile. Beliau menyatakan, ini merupakan kali pertama beliau mengetuai delegasi secara rasmi melawat Thailand dan juga merupakan kali pertama kerajaan China mengadakan aktiviti “Minggu Kebudayaan Tibet” di Thailand. Dua kali aktiviti seperti itu telah dianjurkan atas nama kalangan rakyat di negara barat.
Semasa memperkatakan kenapa memilih Thailand untuk mengadakan aktiviti itu, beliau berkata, “Agama Buddha merupakan agama negara Thailand, hubungan persahabatan antara China dengan Thailand sangat baik. Presiden China, Hu Jintao baru-baru ini telah melawat Thailand. Lawatan itu telah mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara. Puteri Thailand, Maha Chakri Sirindhorn yang pernah 17 kali melawat China telah berkunjung ke Tibet. Beliau sedang belajar bahasa Mandarin dan sangat mesra dengan rakyat China. Lawatan kali ini akan mengutamakan aktiviti kebudayaan agar rakyat Thailand dapat mengetahui dasar kerajaan China terhadap etnik di Tibet dan sokongan rakyat Tibet kepada kerajaan pusat. Rakyat Thailand boleh mengetahui Tibet dan perubahan besar yang berlaku dalam tempoh lebih 50 tahun sejak Tibet dibebaskan secara damai.
5 Disember adalah Hari Kebangsaan Thailand dan juga hari ulang tahun ke-76 Raja Thailand Bhumibol Adulyadej. Upacara perasmian “Minggu Kebudayaan Tibet” akan diadakan di Stadium Kebangsaan Bangkok Thailand Nimibut pada pukul 6.00 petang. Ini juga merupakan acara untuk memeriahkan Hari Kebangsaan Thailand dan sambutan hari ulang tahun ke-76 Raja Thailand. Surat tahniah daripada Perdana Menteri China, Wen Jiabao dan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra akan dibaca dalam upacara perasmian tersebut. Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suchart Jaovisidaha akan menyampaikan ucapan. Ketua delegasi China, Pelma Trile akan menghadiahkan Hada, sejenis hadiah yang istimewa dari Tibet kepada tetamu terhormat.
Semasa menyentuh tentang keistimewaan Minggu Kebudayaan Tibet kali ini, Pelma Trile berkata, “Terdapat 3 acara yang sangat istimewa dalam Minggu Kebudayaan Tibet kali ini. Pertama ialah persembahan kesenian Tibet. Rakyat Tibet sangat pandai menyanyi dan menari. Kedua ialah pameran gambar pemandangan Tibet yang mencerminkan perubahan di Tibet selama 50 tahun ini. Ketiga ialah rombongan pertukaran kepakaran keilmuan Buddha Tibet. Ini kerana Thailand juga merupakan negara agama Buddha. Tibet dan Thailand boleh mengadakan pertukaran dalam bidang tersebut.”
Terdapat 8 acara persembahan kebudayaan dalam Minggu Kebudayaan Tibet kali ini. Acara ke-4 daripada persembahan tersebut akan diadakan di Lapangan Diraja Sanam Luang di Bangkok pada 8 Disember akan datang. Lapangan Sanam Luang boleh menampung hampir 10 ribu orang. Rombongan Nyanyian dan Tarian Tibet dan penyanyi sensasi Thailand juga akan menyertai persembahan tersebut untuk bersama-sama merayakan hari ulang tahun ke-150 raja generasi ke-5 Thailand Chulalongkorn. Putera Mahkota dan Timbalan Perdana Menteri Thailand akan menghadiri persembahan kebudayaan tersebut. Semasa menyentuh tentang seniman yang menyertai rombongan kali ini, Pelma Trile berkata,
“Ahli rombongan nyanyian dan tarian Tibet kali ini sangat besar, juga termasuk seniman yang terkenal dari China, termasuk biduanita Tseden Trolma. Mereka akan mempersembahan acara yang cukup menarik kepada rakyat Thailand.”
Pelma Trile akhirnya menyatakan, beliau percaya Minggu Kebudayaan Tibet kali ini akan mendorong pertukaran dan perbincangan antara Tibet China dengan Thailand dalam bidang ekonomi dan perdagangan, kebudayaan, pelancongan dan lain-lain supaya lebih banyak negara bersahabat mengadakan pertukaran dan kerjasama dengan Tibet China.
----Andika
|