Pada tahun 2003 yang baru berlalu, atlet-atlet China telah mencapai kejayaan yang menggembirakan di arena sukan dalam dan luar negara, memenangi 87 kejohanan dunia dan mencatat 16 rekod baru dunia.
Ketika menyebut sukan China, ramai orang akan teringat sukan Ping Pong dan badminton. Pada tahun 2003, China terus mengekalkan keunggulan dalam pelbagai acara sukan.
Dalam Pertandingan Ping Pong Dunia ke-47 yang diadakan di Paris pada bulan Mei lalu, pemain-pemain China telah memenangi 4 pingat emas menerusi acara perseorangan wanita, beregu wanita, beregu lelaki dan beregu campur.
Pada tahun 2003, China juga mencapai kejayaan yang menggalakkan dalam sukan badminton. Walaupun pasukan China tewas pada pasukan Republik Korea dengan 1: 3 dalam Pertandingan Badminton Piala Sudirman pada bulan Mac tahun lalu, tetapi ketua jurulatih pasukan badminton negara China, Li Yongbo berpendapat, tahun 2003 merupakan tahun yang paling berjaya bagi pasukan badminton negara China dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, kerana dalam semua pertandingan penting pada setiap tahun, pemain badminton China boleh memenangi lebih daripada 3 pingat emas. Dalam kebanyakan pertandingan pada tahun 2003, pemain China sentiasa mendapat tempat pertama dalam acara perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu wanita di kejohanan dunia.
Ketika menyebut Sukan Olimpik Athens tahun 2004, Li Yongbo berkata, "Dalam semua acara, pemain China akan sedaya upaya merebut pingat emas, walaupun penuh persaingan dalam pertandingan, kami tidak akan melepaskan peluang untuk mendapat pingat emas."
Pada tahun 2003, China juga meraih pencapaian besar dalam sukan gimnastik dan angkat berat.
Dalam Kejohanan Gimnastik Dunia yang diadakan di Amerika Syarikat pada bulan Ogos lalu, pasukan China telah menduduki tempat pertama dalam carta pingat dengan meraih 5 pingat emas. Ini juga merupakan kali pertama pasukan China memenangi 5 pingat emas dalam kejohanan dunia. Pengerusi Persatuan Gimnastik Rusia, Leonid Arkaev berpendapat, pasukan gimnastik China merupakan pasukan yang paling berkeupayaan di dunia. Ketua Pengarah Pusat Pengurusan Gimnastik Jabatan Pentadbiran Am Sukan Negara China, Gao Jian berpendapat, dalam acara gimnastik Sukan Olimpik Athens tahun 2004, atlet-atlet China mempunyai keupayaan untuk meraih pingat emas dalam 7 acara gimnastik, iaitu acara berpasukan lelaki, serba boleh perseorangan lelaki, loncat kekuda lelaki, kekuda bertelinga, palang selari, palang tidak sekata dan alang imbangan.
Beliau berkata, "Jika pasukan kami tidak mengalami perubahan besar, dengan keadaan yang biasa, kami mungkin akan memenangi 7 pingat emas."
Manakala, dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia yang diadakan di Kanada pada bulan November lalu, pasukan angkat berat China telah meraih 21 pingat emas.
Dalam sukan musim sejuk tahun 2003, atlet-atlet skating berirama China telah memberi kesan mendalam kepada orang ramai. Atlet skating berpasangan China, Shen Xue dan Zhao Hongbo telah memenangi dua pingat emas dalam Kejohanan Skating Dunia dan Pertandingan Akhir Skating Berirama Persekutuan Skating Antarabangsa. Selain itu, atlet skating berpasangan China, Pang Qing dan Tong Jian serta Zhan Dan dan Zhang Hao juga telah mencapai kejayaan yang menggembirakan dalam pelbagai pertandingan antarabangsa.
Naib Ketua Pengarah Pusat Pengurusan Sukan Ais dan Salji China, Ren Hongguo berkata, "Dalam Pertandingan Akhir Skating Berirama Persekutuan Skating Antarabangsa pada bulan Disember lalu, antara 6 pasang atlet skating yang melayakkan diri dalam pertandingan akhir, terdapat 3 pasang atlet China. Ini menunjukkan, China telah mencapai kemajuan besar dalam sukan tersebut."
Pasukan bola tampar wanita negara merupakan pasukan yang paling berjaya di China pada tahun 2003. Dalam Pertandingan Bola Tampar Wanita Piala Dunia yang diadakan pada bulan November lalu di Jepun, pasukan China telah menjadi johan, dan sekali lagi muncul sebagai johan dunia selepas 17 tahun.
Manakala, pemain China yang paling terkenal pada tahun 2003 pula ialah Yao Ming yang berkhidmat dalam NBA. Beliau telah dipilih sebagai "Pemain Baru Terbaik Tahunan" dalam "Anugerah Lawrence", dan merupakan pemain Asia pertama yang mendapat anugerah tersebut.
---Wenwen
|