|
 Pada tahun 1970 an, pakar kaji purba China telah menemui satu kubur zaman Dinasti Han di Mawangdui di sebelah timur luar Bandar Changsha, ibu kota Provinsi Hunan di selatan China. Penemuan ini telah menggemparkan rakyat China dan dunia. Satu mayat wanita yang dipelihara baik ditemui dalam kubur tersebut. Ini merupakan kali pertama mayat zaman purba yang tidak kering ditemui di dunia. Selain itu, sejumlah besar artifak yang bernilai tinggi juga telah ditemui dalam kubur tersebut.
Pada tahun 1971, satu makam zaman purba telah ditemui di Mawangdui Changsha Hunan. Kubur itu dipenuhi tanah liat berwarna putih dan arang kayu yang menyelubungi keranda. Tanah liat berwarna putih itu setebal lebih satu meter, manakala arang kayu yang diletakkan di bawah tanah liat putih seberat 5 tan. Setelah arang kayu digali dan diangkut dengan 4 buah trak yang penuh, keranda itu telah dikeluarkan. Keranda itu sepanjang 7 meter, seluas 5 meter dan setinggi 3 meter. Setelah keranda yang besar dibuka, di dalamnya terdapat pula 3 buah keranda yang menyelubungi satu demi satu.
Setelah keranda terakhir dibuka, satu mayat wanita telah ditemui. Mayat wanita itu bukan sahaja tubuhnya lengkap dan air mukanya masih dapat dikenali, tetapi rambutnya masih hitam, kulitnya masih belum kering, ototnya masih pejal dan sendi di tubuhnya masih boleh digerakkan. Setelah diadakan bedah siasat, pelbagai organ dalam mayat tersebut masih belum rosak, dalam saluran makan, perut dan usus kecil terdapat lebih 100 biji tembikai manis. Ini sungguh mengejutkan. Dalam keranda itu terdapat cap yang ditulis "Xin Zhui". Menurut kajian, mayat wanita itu bernama Xin Zhui dan adalah isteri Perdana Menteri Negeri Changsha pada Dinasti Han Barat pada abad ke 2 sebelum Masehi.
Penemuan tersebut telah menggemparkan rakyat China dan dunia. Ramai orang termasuk pakar, sarjana, pelancong, jurugambar dan anggota penyelidik beramai-ramai melawat Bandar Changsha untuk menyaksikan mayat wanita purba itu.
Dalam masa dua tahun selepas makam Xin Zhui ditemui, dua buah makam pada zaman Dinasti Han berukuran besar telah ditemui pula di tempat yang berhampiran. Satu antaranya ialah makam suami Xin Zhui, iaitu Perdana Menteri Negeri Changsha Li Cang, manakala yang satu lagi mungkin kubur anak lelaki mereka. Ketiga-tiga kubur tersebut dinamakan Kubur Dinasti Han Mawangdui Changsha.
Banyak kraf tangan telah ditemui di dalam ketiga-tiga kubur tersebut. Antaranya pakaian, barang makanan, ubat-ubatan, lak, patung kayu, alat muzik, tembikar, lukisan kain sutera, buku kain sutera dan buku yang diperbuat daripada kayu dan buluh. Kraf tangan tersebut bukan sahaja merupakan barang kegunaan seharian, tetapi juga merupakan barang kesenian yang bernilai tinggi. Sebanyak lebih 1400 helai barangan tekstil ditemui dalam kubur-kubur tersebut. Barangan tekstil tersebut dianggap sebagai "khazanah sutera Dinasti Han Barat yang mengkagumkan".
Antaranya terdapat 2 helai baju yang masing-masing sepanjang lebih satu meter dan lengan bajunya kira-kira dua meter, tetapi hanya seberat 28 gram, kain yang nipis itu membiktikan bahawa teknologi tekstil China pada waktu itu sudah sangat maju. Antara buku-buku kain sutera, kayu dan buluh tersebut bukan sahaja terdapat buku ilmiah tentang ilmu falak yang paling awal di dunia, tetapi juga terdapat buku ilmiah dalam bidang perubatan yang paling awal di China. Buku kain sutera yang ditemui dalam ketiga-tiga kubur Dinasti Han Mawangdui Changsha tersebut bukan sahaja jumlahnya banyak, tetapi kandungannya penting, banyak pandangan baru daripada kandungan buku-buku tersebut telah mengubah pandangan tradisional rakyat China. 
Penemuan Kubur Dinasti Han Mawangdui Changsha Hunan adalah yang pertama dalam sejaran kaji purba China kerana mayat zaman purba yang terpelihara dengan baik, kain sutera yang cantik lagi nipis dan buku kain sutera ditemui bersama-sama dalam satu kubur purba yang bersejarah lebih 2000 tahun. Oleh itu, penemuan Kubur Dinasti Han Mawangdui Changsha dianggap sebagai salah satu penemuan terpenting dalam sejarah kaji purba China dan dunia.
---Li Jian
|