Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Amerika Syarikat tidak wajar mengaitkan Malaysia dengan kegiatan pengeluaran senjata nuklear kerana Malaysia tidak tergolong sebagai negara yang mempunyai cita-cita untuk menjadi negara kuasa nuklear.
Beliau juga menyifatkan tuduhan Presiden George W.Bush melalui ucapannya Rabu lepas bahawa Malaysia mempunyai hubungan dengan satu rangkaian antarabangsa yang menyokong pengeluaran centrifuge secara haram sebagai tidak adil dan mengelirukan.
Beliau menyatkan, Malaysia tidak memiliki keupayaan seperti Iran atau Korea Utara. Kata Syed Hamid kepada pemberita selepas menghadiri suatu majlis di kementerian beliau di sini, Sabtu.
"Malaysia bukan negara yang mempunyai sebarang keupayaan nuklear, dan juga bukan pengeluar sebarang senjata pemusnah secara besar-besaran atau sebarang loji pembinaan nuklear," katanya.
Syed Hamid berkata tidak banyak yang mampu dilakukan oleh Malaysia selain menyampaikan rasa tidak puas hatinya terhadap ucapan Bush itu kepada Washington melalui kedutaan Amerika di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, Syed Hamid berkata beliau berharap Amerika akan menangani urusannya dengan negara kecil seperti Malaysia dengan lebih adil.
|