|
Kerana manusia masih belum berjaya menghasilkan ubat dan vaksin yang berkesan untuk mengubati pesakit AIDS, China menumpukan perhatian besar terhadap pendidikan seks dan memberi penerangan dan pengetahuan kepada orang ramai tentang pencegahan jangkitan AIDS.
Kaunti Jixian terletak di Provinsi Henan, bahagian tengah China. Sewaktu melawat setiap pekan dan kampung di sana, wartawan CRI mendapati banyak lukisan tentang pengetahuan AIDS ditempel di papan kenyataan; sewaktu membaca surat khabar tempatan, kita akan mendapati halaman khas disediakan untuk memperkenalkan pengetahuan pencegahan AIDS; sewaktu berjalan di sawah dan ladang, dan menanya sesiapa pun termasuk petani tentang pengetahuan AIDS, mereka boleh menjawab soalan itu sedikit sebanyak.
Keadaan baik tersebut adalah kerana usaha Persatuan Perancangan Keluarga Kaunti Jixian, secara menyeluruh menjalankan penerangan dan pengetahuan tentang pencegahan AIDS di kawasan desa. Encik Jiang Zhiji, seorang petani tempatan berkata kepada wartawan CRI bahawa anggota Persatuan Perancangan Keluarga di sana selalu memberi penerangan kepada para petani tentang pengetahuan pencegahan AIDS dan juga selalu mengadakan sejumlah aktiviti yang mendapat sambutan baik daripada para petani. Beliau berkata, "Mereka menyelenggarakan program kesenian yang kami suka untuk mempopularkan pengetahuan pencegahan AIDS. Melalui penerangan itu, kami dapat mengetahui tentang AIDS dan ketiga-tiga saluran yang boleh menyebabkan kita dijangkiti AIDS. Tugas itu memberi manfaat yang besar kepada para petani di seluruh kaunti".
Statistik yang ada menunjukkan bahawa antara hampir sejuta orang yang dijangkiti AIDS di China, kebanyakannya tinggal di kawasan desa. Ia disebabkan ramai petani tidak begitu mengetahui tentang pencegahan AIDS dan kesedaran mereka tentang hal itu masih kurang. Dengan demikian, China mengutamakan kaum petani dalam pelaksanaan pendidikan seks dan penyebaran pengetahuan pencegahan AIDS.
Seperti kerja yang dijalankan oleh Persatuan Perancangan Keluarga Kaunti Jixian, Persatuan Perancangan Keluarga Bandar Huaihua yang terletak di Provinsi Huinan, bahagian tengah China juga menjalankan penerangan dan pengetahuan tentang pencegahan AIDS di kalangan petani tempatan, khususnya kepada petani yang selalu bekerja di bandar.
Encik Chen Jianzhong, seorang kakitangan Persatuan Perancangan Keluarga China, pernah menyertai kerja tersebut, beliau memaklumkan,
"Kami mencetakkan brosur yang mengandungi pengetahuan pencegahan AIDS dan juga menjelaskan tentang salah faham masyarakat terhadap AIDS. Kami menghantar brosur tersebut kepada setiap keluarga yang ada orang bekerja di bandar. Seterusnya, keluarga tersebut mengirim brosur tersebut kepada anggota keluarga mereka yang bekerja di bandar. Kesannya bagus."

Kerja yang dijalankan oleh Persatuan Perancangan Keluarga Bandar Huaihua tersebut memberi faedah kepada seramai lebih 400 ribu petani yang bekerja di bandar termasuk Encik Wang Haijun. Beliau berkata, pada masa dahulu, beliau berasa AIDS tidak berkaitan dengannya. Tetapi melalui penerangan itu, pandanganya berubah. Beliau berkata, "Melalui penerangan tersebut, kami mengubah sikap terhadap pendidikan seks tentang pencegahan AIDS. Terdapat semakin ramai orang termasuk saya dan kawan-kawan saya mempelajari pengetahuan itu. Aktiviti tersebut memang telah mencapai kesan yang baik."
----Azmi
|