Dalam pertandingan kelayakan Sukan Olimpik Athens, Pasukan Bola Sepak Olimpik China telah ditewaskan oleh pasukan Republik Korea dengan 0:1 pada 3 Mac lalu, lantaran itu, pasukan bola sepak China belum dapat mengalahkan pasukan Republik Korea sejak tahun 1983. Peminat bola sepak China berharap agar pasukan bola sepak China meningkatkan taraf permainannya dan mengalahkan pasukan bola sepak Republik Korea secepat mungkin.
Pada 3 Mac lalu, Pasukan Olimpik China bertanding dengan pasukan Republik Korea di Seoul. Sebelum itu, pasukan China sudah berturut-turut tiga kali ditewaskan oleh pasukan Republik Korea dan tidak dapat memasuki pertandingan Sukan Olimpik.
Pasukan kebangsaan China belum dapat menewaskan pasukan Republik Korea dalam tempoh lebih 20 tahun sejak tahun 1983, dan keadaan ini berlaku dalam sejarah bola sepak dunia. Ketua Jurulatih Pasukan Olimpik China, Encik Shen Xiangfu berkata,
"Pasukan China telah dikalahkan oleh pasukan Republik Korea dalam tempoh 20 tahun lalu. Tetapi itu sejarah yang sudah berlalu, yang penting adalah masa depan."
Pasukan Olimpik yang dilatih oleh Shen Xiangfu sekarang disebut "Generasi Emas", manakala pasukan bola sepak Republik Korea yang mengalahkan pasukan China pada 3 Mac lalu dipanggil "pasukan Olimpik yang paling lemah dalam sejarah" oleh pihak media Republik Korea. Pasukan Republik Korea menewaskan pasukan China kerana pasukan China membuat kesilapan. Wartawan KBS Republik Korea, Kim Wan Soo menyatakan,
"Saya berpendapat bahawa keadaan ini tidak berkaitan dengan teknik dan kemampuan pasukan China, tetapi berkaitan masalah fikiran. Pasukan Republik Korea menetapkan matlamat mereka iaitu mesti menewaskan pasukan China dan pasukan Jepun. Tetapi pasukan China berpendapat bahawa mereka sukar menewaskan pasukan Republik Korea. Saya fikir, pasukan China akan mengalahkan pasukan Republik Korea dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang."
Yang tidak boleh dinafikan adalah jurang perbezaan antara pasukan bola sepak China dengan Republik Korea semakin besar dalam tempoh sepuluh tahun lalu. Pasukan Republik Korea sudah berturut-turut empat kali melayakkan diri ke peringkat pertandingan Piala Dunia dan juga memasuki empat kumpulan terbaik dalam Piala Dunia tahun 2002. Tetapi pasukan China hanya sekali memasuki pertandingan akhir Piala Dunia. Apabila menyentuh tentang masalah pasukan bola sepak China pada masa ini, Lee Chang Soo yang pernah melatih pasukan China menyatakan,
"Pertandingan profesional hanya diadakan selama 11 tahun di China, pengalamannya kurang. Saya berpendapat bahawa usaha pembangunan bola sepak China berada dalam tempoh peralihan, ia akan berkembang baik dan mereka pasti akan mencapai kejayaan."
Diketahui umum bahawa peningkatan taraf pertandingan profesional sesebuah negara merupakan asas kemenangan pasukan bola sepak negara itu di arena antarabangsa. Walaupun pasukan China masih lemah berbanding pasukan Jepun dan Republik Korea, tetapi pasukan China telah mencapai kemajuan besar berbanding sepuluh tahun yang lalu. Pertandingan Liga Profesional Bola Sepak China yang pertama akan dimulakan beberapa bulan lagi, persatuan bola sepak China akan meningkatkan taraf latihan, dan promosi dengan menimba pengalaman maju pengurusan bola sepak di Eropah. Di samping itu, para pemain yang berkhidmat di seberang laut juga akan memperkenalkan pembangunan bola sepak China kepada dunia. Peminat dan pentadbir bola sepak di China percaya bahawa jurang perbezaan antara pasukan China dengan pasukan Republik Korea akan dikurangkan dan China berkeyakinan penuh akan menewaskan pasukan Republik Korea tidak lama lagi.
----Wang Jin
|