Pernahkah saudara melawat ke China dan bersiar-siar ke Kota Larangan atau Porbidden City, Taman Tiantan atau Temple of Heaven dan Taman Yihe atau Summer Palace di Beijing, taman-taman di Suzhou dan Pagoda Liuhe di Hangzhou? Bangunan-bangunan zaman purba China tersebut merupakan lambang tamadun dan kebudayaan zaman purba China. Bangunan-bangunan zaman purba tersebut bukan sahaja menggambarkan wajah zaman purba China, tetapi juga memperlihatkan konsep dan kebudayaan istimewa orang Cina.
Kayu merupakan bahan utama bangunan purba China, manakala bahan utama bangunan purba Barat ialah batu dan bata. Di China, baik istana diraja ataupun rumah kediaman rakyat jelata diperbuat dengan kayu. Berdasarkan cara pembinaan ini, berat atap bangunan ditongkat oleh tiang tetapi bukan dinding.
Pada Februari tahun 1996, gempa bumi kuat berlaku di kawasan Lijiang Provinsi Yunnan di barat daya China. Banyak bangunan baru runtuh, tetapi yang menghairankan ialah kerosakan akibat gempa bumi itu di kawasan lama Bandar Lijiang tidak begitu teruk, walaupun dinding sejumlah bangunan lama runtuh, tetapi tiang bangunan lama tersebut tetap berdiri.
Selain menahan gempa bumi, bangunan purba China yang berdasarkan struktur kayu juga mudah dibina. Kota Larangan Beijing yang dibina pada zaman Dinasti Ming iaitu dari tahun 1368 hingga tahun 1644 terdiri daripada kira-kira 10 ribu dewan dan bilik dengan keluasan 720 ribu meter persegi, masa persiapan dan pembinaan Kota Larangan hanya 13 tahun dan masa pembinaannya hanya lebih 4 tahun. Manakala Gereja Besar di Fiorentina Itali yang dibina pada zaman yang sama dengan Kota Larangan Beijing telah dibina selama 50 tahun.
Walaupun mudah dibina, tetapi bangunan purba China yang berdasarkan struktur kayu juga mudah terbakar, dalam masa lebih 400 tahun selepas Kota Larangan dibina, 24 kali kebakaran telah berlaku di sana. Selain itu, bangunan purba China yang dibina dengan kayu juga mudah terjejas oleh kelembapan udara dan serangga.
Keistimewaan utama bangunan purba China ialah atapnya sangat tinggi dan besar. Rekaan sedemikian boleh mencegah pembocoran air semasa hujan dan juga cantik dari segi penglihatan.
Satu keistimewaan lain bangunan purba China ialah susunan keseluruhan kompleks bangunan itu sangat megah. Walaupun bangunan tunggal pada zaman purba China tidak begitu tinggi berbanding dengan bangunan purba Barat, tetapi susunan keseluruhan kompleks bangunan purba China sangat besar dan megah baik istana, dewan, makam, kuil, taman atau rumah kediaman orang awam. Ada orang berkata, seandainya hendak memahami bangunan purba China, mesti mengkaji kompleks bangunan atau pekarangan zaman dahulu.
Kebanyakan bangunan purba China dibina berdasarkan susunan simetri. Kompleks bangunan purba China biasanya dibina secara simetri dan rapi berdasarkan satu garis tengah, malahan bandar purba China juga dibina secara simetri berdasarkan garis tengah, misalnya susunan Bandar Beijing berpusatkan Kota Larangan, dan bangunan-bangunan purba lain dibina menurut prinsip simetri berdasarkan garis tengah dari selatan ke utara di tengah Kota Larangan.
Bangunan purba China sangat mementingkan hiasan lukisan dan ukiran. Baik bangunan besar yang megah ataupun bangunan kecil, pola pemandangan semula jadi yang indah, cerita dongeng, tokoh sejarah, taman dan pekarangan tradisional, bunga, rumput dan pohon atau arca binatang dan unggas dilukis atau diukir oleh tukang pembina pada kayu melintang dan tiang bahkan bata, kesemua ini telah menjadikan bangunan purba China lebih indah dan mengagumkan.
---Li Jian
|