Dua rakyat Malaysia dan seorang warga Indonesia diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai sebagai lanun berhampiran Pulau Taganak, di perairan Filipina malam semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Iliyas Ibrahim berkata, orang-orang yang diculik adalah kakitangan sebuah bot.
Bot itu telah dipintas oleh sebuah bot lain semasa dalam perjalanan dari Miri ke Kepulauan Solomon, Papua New Guinea pada 7.00 malam.
Semasa dipintas salah seorang ahli kumpulan itu yang dipercayai sebagai lanun telah melepaskan satu tembakan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kumpulan itu kemudiannya membawa pergi dua orang warga Malaysia dari Miri seorang berusia 48 tahun dan seorang lagi 52 tahun, dan juragan bot itu seorang warga Indonesia berumur 53 tahun.
Iliyas tidak memberikan nama-nama yang diculik.
Bagaimanapun, tujuh orang anak kapal itu sempat menyembunyikan diri di bawah dek bot itu dan terselamat daripada diculik, kata beliau.
Iliyas berkata, ketujuh-tujuh anak kapal itu kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan untuk diambil keterangan.
Mengenai motif penculikan, Iliyas berkata, motif belum dapat dipastikan kerana setakat ini pihaknya belum dihubungi oleh kumpulan penculik itu.
Pulau Taganak di Selatan Filipina terletak berhampiran sempadan Malaysia.
|