Persidangan Rantau Asia-Pasifik ke-27 Pertubuhan Bahan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) telah diadakan di Beijing hari ini. Pegawai FAO dalam upacara perasmian persidangan tersebut menyatakan, pelbagai negara rantau Asia-Pasifik harus meningkatkan kerjasama dalam bidang pertanian dan mempercepat langkah penyelesaian masalah kemiskinan dan keselamatan bahan makanan.
Persidangan Rantau Asia-Pasifik ke-27 FAO yang berlangsung selama 5 hari itu terbahagi kepada 2 peringkat iaitu Sidang Pegawai Kanan dan Sidang Peringkat Menteri. Semasa persidangan itu, wakil dari lebih 30 buah negara anggota FAO di rantau Asia-Pasifik akan mengadakan perbincangan dan pertukaran pendapat tentang pelbagai topik termasuk bidang pertanian serantau, cabaran yang dihadapi dalam proses pembangunan kawasan desa dan keselamatan bahan makanan dan lain-lain.
Ketika memperkatakan masalah keselamatan bahan makanan, Encik He Changchui, Pembantu Ketua Pengarah FAO menjelaskan, "Dalam aspek penyelesaian keselamatan bahan makanan, kami tertinggal jauh dari tuntutan yang ditetapkan dalam Sidang Kemuncak Bahan Makanan Sedunia pada tahun 2002. Pada tahun 1990-an, di rantau Asia-Pasifik, kami hanya mengurangkan jumlah penduduk yang kekurangan bahan makanan seramai 6.8 juta orang setiap tahun iaitu setengah daripada kadar yang ditetapkan dalam matlamat rancangan itu. Untuk mewujudkan matlamat itu, kami harus mengurangkan jumlah penduduk kekurangan bahan makanan seramai 15 juta setiap tahun, ia memang tugas yang sukar".
Dimaklumkan bahawa rantau Asia-Pasifik mempunyai banyak negara membangun dan juga merupakan rantau utama dalam penyelesaian masalah kelaparan dan kemiskinan sejagat. Penduduk miskin dan kekurangan bahan makanan berjumlah 320 juta di rantau tersebut iaitu menduduki 2/3 jumlah keseluruhan penduduk dunia.
Naib Menteri Pertanian China Encik Zhang Baowen secara ringkas memaklumkan keadaan pembangunan pertanian di China. Beliau berkata,
"Semua tindakan pembaharuan amat meningkatkan keupayaan pengeluaran pertanian di China. Bekalan bahan makanan China yang tidak mencukupi pada tempoh masa yang panjang suatu ketika dahulu, berkembang ke taraf mencukupi sekarang, bahkan melebihi keperluan pada tahun lalu. Ekonomi kawasan desa berkembang dengan pesat dan kaum petani China memperolehi lebih banyak pendapatan untuk memperbaiki kehidupan mereka".
Berdasarkan statistik bahawa sehingga penghujung abad lalu, nisbah jumlah penduduk miskin dalam jumlah keseluruhan penduduk China telah berkurangan dari 25% pada lebih 20 tahun lalu ke 3% ke bawah pada masa ini.
Encik Zhang Baowen berkata, China berharap melalui Persidangan Rantau Asia-Pasifik ke-27 FAO, China dapat berkongsi pengalaman dan kejayaan dengan pelbagai negara Asia-Pasifik dalam bidang pertanian termasuk penanaman padi, dan bersama-sama mengkaji strategi pembangunan pertanian serantau.
|