Komuniti Ronghua yang mendapat reputasi sebagai "PBB Mini" merupakan komuniti penduduk asing yang pertama di Bandar Shanghai, China. Sejak ditubuhkan pada tahun 1996, lebih 3,700 keluarga China dan asing dari lebih 30 negara dan kawasan termasuk Hong Kong, Makau dan Taiwan tinggal di kawasan komuniti tersebut.
Di komuniti tersebut, para penduduk asing yang berbeza warna kulitnya, bahasa dan adat resam, berjaya mengatasi kesukaran akibat perbezaan kebudayaan, dan menikmati kehidupan yang harmoni. Serentak itu, "PBB Mini" juga berjaya melaksanakan pengurusan komuniti yang berstandard antarabangsa untuk menjamin para penduduk warga asing yang tinggal di Shanghai hidup dengan bahagia.
Lain ladang lain belalang. Para penduduk asing yang tinggal dalam Komuniti Ronghua mempunyai adat resam yang berbeza. Maka mempelajari adat resam mereka merupakan kerja yang harus terlebih dahulu dijalankan oleh pekerja Komuniti Ronghua.
Pada suatu ketika, seorang penduduk Komuniti Ronghua Puan Helen yang berasal dari Switzerland menderma 5 ribu yuan RMB untuk membantu pelajar miskin di Bandar Shanghai. Setelah mengetahui perkara itu, Komuniti Ronghua menghadiahkan bunga kepada Puan Helen untuk merakamkan terima kasih. Disebabkan pekerja Komuniti Ronghua pernah mempelajari adat resam tentang cara menyerahkan bunga dan pengetahuan tentang bunga kebangsaan pelbagai negara asing, sewaktu bunga bakung dan bunga starriness yang melambangkan kehormatan dan kasih sayang diserahkan kepada Puan Helen, beliau berasa gembira sekali, dan bercakap dalam bahasa Mandarin yang kurang lancar, "Terima kasih, saya suka bunga ini".
Wartawan CRI dimaklumkan bahawa pada setiap tahun, "PBB Mini" menganjurkan banyak aktiviti yang disertai oleh keluarga asing. Para penduduk asing yang berasal dari pelbagai negara termasuk Australia, Republik Korea, Greece, A.S. dan Jepun biasanya menyajikan lauk-pauk yang mempunyai keistimewaan negara masing-masing.
Untuk membezakan dan menghormati keluarga asing, pekerja Komuniti Ronghua memasang bendera kebangsaan para peserta di tepi lauk-pauk tersebut. Tindakan itu dipuji oleh para penduduk asing. Sewaktu melihat bendera kebangsaan negara sendiri, ramai kanak-kanak asing menjerit dengan bangga, "Inilah bendera kebangsaan kami!"
Selain itu, terdapat ramai penduduk asing yang tinggal dalam Komuniti Ronghua berminat untuk mempelajari kebudayaan tradisional China. Untuk memenuhi permintaan mereka, pekerja Komuniti Ronghua mengundang pakar yang berkaitan untuk mengadakan pelbagai kursus, misalnya kursus bahasa Mandarin, kursus seni khat dan lukisan, kursus berkaitan budaya tradisional China dan kursus memasak lauk-pauk China. Kursus-kursus tersebut mendapat sambutan daripada para "Suri Rumah" warga asing pada masa ini.
Terdapat seorang warga India, Puan Sandiya yang pandai menari dan menyanyi, setelah datang ke China, beliau mula berminat terhadap kebudayaan China. Beliau berharap anak perempuannya Siyaneng dapat mempelajari alat muzik tradisional China dan menyanyi lagu dalam bahasa Mandarin. Pekerja Komuniti Ronghua menghubungi sekolah menengah dalam komuniti tersebut dan mengundang seorang guru muzik untuk mengajar anaknya. Tidak lama selepas itu, gadis itu sudah pandai bermain alat muzik China dan selalu mempersembahkan pertunjukan kesenian dalam aktiviti gembira komuniti itu.
Pada masa ini, penduduk asing yang tinggal di Bandar Shanghai, China berjumlah lebih 60 ribu. Seiring dengan Shanghai berkembang maju dan menjadi bandar metropolitan antarabangsa yang moden, nisbah penduduk asing dengan penduduk tempatan akan meningkat dari 2% sekarang ke 12%. Semakin banyak komuniti penduduk asing yang berjaya menyediakan perkhidmatan yang sempurna sebagai salah satu saluran bagi orang asing mengetahui keadaan Bandar Shanghai.
----AZMI
|