Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2004-06-01 20:33:25    
Teks Ucapan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Seminar Persahabatan China-Malaysia

CRI

 

Teks Ucapan

YAB Dato' Seri Abdullah HJ. Ahmad Badawi

Perdana Menteri Malaysia

Sempena Perasmian Seminar Persahabatan China-Malaysia

29 Mei 2004

di Beijing Foreign Studies University, China

Assalamualaikum Salam sejahtera tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Yang Dihormati Encik Chen Haosu, Yang Dihormati puan Chen Naifang, Yang Berhormat Menteri-Menteri, Timbalan-timbalan Menteri dan juga Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri dari Malaysia semuanya. Tuan-tuan yang terutama, duta-duta, Yang Berbahagia Tan Sri Kamarul Ariffin, Yang Berbahagia Datuk Hj A. Aziz Deraman, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Puataka, Prof. Anwar Ridhwan, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan taufik dan hidayah-Nya, saya dapat hadir di majlis yang signifikan ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur iaitu Beijing Foreign Studies University (BFSU) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Terima kasih atas daya usaha dan kesungguhan kedua-dua pihak mengadakan seminar ini. Sokongan padu daripada kerajaan China, sarjana-sarjana serta pelajar-pelajar di Beijing yang turut memberi bantuan itu, saya sangat-sangat hargai. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas penghormatan kepada saya untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Persahabatan China-Malaysia sempena sambutan ulang tahun yang ke-30 hubungan diplomatik dan persahabatan Malaysia-China.

Para hadirin yang saya hormati,

Hubungan dua hala peradaban Melayu-China telah melalui pelbagai rentetan sejarah yang amat bermakna. Hubungan ini yang berhampir enam abad lalu, mungkin tidak sama dengan perhubungan baru yang sedang terangkai sekarang. Masing-masing wilayah telah mengalami laluan sejarah kehidupan, politik, sosial, kebudayaan dan perubahan budaya yang berbeza. Hubungan asal dua peradaban yang ditandai oleh kecekapan diplomasi silam dan urusan dagang, kini sedang memasuki era globalisasi teknologi maklumat, pasaran terbuka, ekonomi, perindustrian. Perkongsian ilmu pengetahuan dan jambatan bicara peradaban kian menjadi perlu untuk melangkah ke era baru dunia. Saya yakin jalinan muhibah ini akan terus mengeratkan hubungan antarabangsa khususnya aspek politik, sosial, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan perdagangan. Jambatan ini perlu diperteguhkan laluannya oleh generasi baru dan yang akan datang. Abad ke-21 ini adalah abad generasi muda.

Hubungan antara Malaysia dengan Republik Rakyat China yang terjalin secara rasmi 30 tahun lalu itu ialah sebenarnya lebih merupakan penjalinan semula hubungan yang telah sedia akrab sejak zaman-berzaman antara Alam Melayu dengan kerajaan Cina. Dalam sekitar abad ke-9 seorang pengembara Cina yang bernama I-Tsing telah mencatat keadaan di Alam Melayu, khususnya di Sumatera, termasuk tentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengembangan agama Buddha pada zaman Seri Wijaya. Secara lebih khusus, Kerajaan Melayu Melaka yang ketika itu merupakan kerajaan induk bagi satu daerah yang luas di Alam Melayu telah mempunyai hubungan dengan Kerajaan China pada sekitar abad 15 dan 16. Karya agung Sejarah Melayu banyak menceritakan hubungan antara dua buah kerajaan itu. Nama Laksamana Cheng Ho, misalnya, cukup dikenal di Malaysia sebagai tokoh yang menjalankan tugas Kerajaan China sehingga namanya diabadikan di beberapa tempat, bukan sahaja di Melaka bahkan juga di negeri lain di Malaysia, seperti di Sarawak. Demikian juga kisah Puteri Hang Li Po yang diriwayatkan berkahwin dengan Sultan Mansyor Shah amat popular dalam masyarakat Malaysia. Barangkali kunjungan saya dan anggota-anggota rombongan dari Malaysia ke Republik Rakyat China ini dapat dianggap sebagai lanjutan kunjungan-kunjungan ratusan tahun dahulu itu.

Selain menjalin kerjasama dalam bidang politik, ekonomi dan perdagangan, saya yakin bahawa kita perlu juga meningkatkan kerjasama dalam bidang bahasa, persuratan, kebudayaan dan pendidikan. Bidang-bidang tersebut sama pentingnya dengan bidang politik dengan ekonomi dan perdagangan, khususnya dalam memupuk persefahaman antara dua buah negara yang mewakili dua tradisi besar di benua Asia.

Sehubungan ini, sukacita saya ingin menyatakan bahawa adalah menjadi hasrat kerajaan Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang aktif di Asia jumlah penutur bahasa Melayu adalah di hierarki kedua sesudah bahasa Mandarin, dengan jumlah penuturnya hampir 250 juta orang di Asia Tenggara. Oleh itu, kerajaan amat menyokong segala usaha yang dipelopori DBP dalam merealisasikan jalinan hubungan bahasa dan kesusasteraan Melayu ke peringkat antarabangsa. Ini sesuai dengan hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa komunikasi dan bahasa ilmu yang penting di dunia melalui pelbagai rangkaian kerjasama secara institusional dan rasmi. Kerjasama dengan Beijing Foreign Studies University dan lain-lain institusi seperti Radio Antarabangsa China (CRI), Universiti Peking dan Institut Penyiaran Beijing adalah antara usaha-usaha yang boleh diteruskan. Saya berharap Dewan Bahasa dan Pustaka terus memainkan peranannya sebagai penghubung kefahamanDalam hal ini saya berharap sokongan semua pihak diteruskan kepada DBP yang telah membuktikan peranannya sebagai penghubung kefahaman dan persefahaman antara budaya dan telah menggiatkan usaha ke arah kerjasama kebahasaan dan kesusasteraan di peringkat antarabangsa.

Perasmian Pusat Bahasa Melayu (PBM) pada 20 Jun 1997 di Beijing telah mencetus satu era baru dalam usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu, khususnya di China. Tambahan pula terdapat minat yang meluas di kalangan pelajar di China untuk mempelajari bahasa Melayu kerana menyedari ia bakal menjadi bahasa penting. Sebagai alat komunikasi penting dan kajian peradaban di dunia Melayu. Ada baiknya sekira syarikat-syarikat besar di Malaysia yang beroperasi di China memberi peluang kepada pelajar yang tamat pengajian, diambil bekerja di syarikat-syarikat mereka bagi memperkembang penggunaan bahasa Melayu di negara ini.

Hal ini tidak perlu diragui lagi kerana bahasa Melayu sudah diperkenalkan dan dipelajari di China kira-kira empat dekad yang lalu sebagai contoh, Beijing Foreign Studies University (BFSU) melahirkan ramai graduan dalam jurusan bahasa Melayu dan mereka menjadi tenaga pengajar, pemandu pelancong, penyiar di Radio Antarabangsa China (CRI) dan menjadi kakitangan diplomatik di negara yang berbahasa Melayu.

Para hadirin yang dihormati,

Agaknya nanti kalau berjumpa dengan pegawai daripada kedutaan Malaysia, mungkin pegawai yang bangsa Cina itu akan cakap bahasa Riau tetapi bukan bahasa Indonesia. Ada kemungkinan ya?

Saya difahamkan kerajaan China sendiri bahawa bahasa Melayu berpotensi menjadi bahasa penting di kawasan Asia berasaskan kemajuan ekonomi di rantau Asia Tenggara. Asia Timur yang dianggotai oleh China, Korea dan Jepun patut sekali menjalin hubungan yang akrab dengan Dunia Melayu dalam pengembangan dan kerjasama bahasa, sastera dan budaya antara kedua-dua wilayah yang berbeza ini. Semasa lawatan saya ke Universiti Xiamen pada bulan September tahun lepas, mereka telah pun bersetuju untuk mengadakan program bahasa Melayu secara elektif. Adalah diharapkan dalam pengajaran ini, penekanan diberikan kepada tiga keperluan asas – dedikasi, kemahiran bahasa dan budaya.

Kerajaan Malaysia telah bersetuju supaya sebuah Kursi Pengajian Melayu diwujudkan di BFSU. Kita akan meneliti dan mencari seorang calon sarjana yang sesuai apabila kerja-kerja asas penubuhannya diselesaikan. Sebuah dana penyelidikan tamadun Melayu-China yang diletakkan di bawah DBP telah dilancarkan pada 24 Mei yang lalu di Kuala Lumpur, sempena Sambutan 30 Tahun Persahabatan dan Hubungan Diplomatik Malaysia-China, saya menggesa supaya organisasi, institusi dan pihak-pihak yang berkaitan memberi sokongan yang mencukupi kepada dana ini dan juga kepada institusi-institusi pengajian Melayu di negara-negara luar daerah tamadun Melayu. Sokongan ini boleh disumbangkan dalam bentuk kepakaran, peralatan dan bahan-bahan penerbitan. Walaupun pada skala yang kecil mahupun sederhana, sumbangan yang berterusan dan konsisten pasti akan menghasilkan pulangan yang memuaskan pada peringkat jangka panjang.

Semua usaha ini diperlukan agar kita dapat mengeratkan teori-teori fisis untuk menilai kejayaan dan peralihan sosial yang sedang dialami. Marilah kita mempereratkan kerjasama kesarjanaan di kalangan sarjana pengajian Melayu di seluruh dunia. Kerjasama ini penting kerana penggunaan bahasa Melayu semakin lama semakin berkembang sesuai dengan perkembangan zaman dan keperluan masyarakat itu sendiri.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Apa juga dasar Kerajaan Malaysia, khususnya yang berhubung kait dengan penggemilangan bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu, baik di dalam mahupun di luar negeri, akan terus diberikan perhatian dan menjadi keutamaan pihak Kerajaan. Sesungguhnya, kita memberi kepercayaan dan menaruh keyakinan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia sebagai tenaga penggerak utama dalam isu yang berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan tamadun bertunjangkan bahasa, sastera dan budaya.

Saya yakin bahasa, sastera dan budaya Melayu yang berkembang pesat di peringkat nasional dan antarabangsa akan menyerlahkan jati diri bangsa Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia.

Dengan kata-kata demikian, saya dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, merasmikan Seminar Persahabatan China – Malaysia ini.

Sekian.