Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2004-06-02 14:18:12    
Rumah Panggung di Kawasan Bara Provinsi Hunan di Selatan China

CRI
Kawasan barat Provinsi Hunan China merupakan kawasan penempatan banyak etnik minoriti antaranya etnik Miao, Tujia dan Dong tinggal secara memusat. Rumah kediaman etnik-etnik tersebut di kawasan itu mempunyai keistimewaannya.

Kebanyakan rumah panggung di kawasan barat Hunan dibina dengan kayu dan bambu, ini disebabkan kawasan itu merupakan kawasan pergunungan dan banyak mengeluarkan balak dan bambu.

Reka bentuk rumah panggung di kawasan barat Hunan pelbagai bentuk. Rumah panggung yang paling banyak di kawasan itu ialah rumah panggung sebelah. Reka bentuknya ialah satu pelantar bertiang bersambung pada rumah panggung dan rumah yang kecil dibina di atas pelantar di sebelahnya. Manakala rumah panggung dua belah adalah rumah panggung yang mempunyai dua buah pelantar bertiang di kedua-dua belah rumah panggung itu dan dua buah rumah kecil dibina masing-masing di atas kedua-dua belah pelantar tersebut. Selain itu, juga terdapat rumah panggung yang reka bentuknya lebih rumit berdasarkan rumah panggung dua belah iaitu bumbung kedua-dua rumah kecil yang dibina di atas pelantar kedua-dua belahnya ditutup dengan satu atap besar sehingga seluruh rumah panggung menjadi satu pekarangan. Beberapa jenis rumah panggung tersebut biasanya dibina di lereng gunung atau tepi sungai. Rumah panggung yang dibina di lereng gunung hanya mempunyai dua tiang sahaja dan seluruh rumah ditongkatkan oleh lereng gunung dan dua tiang tersebut. Sama halnya rumah panggung yang dibina di tepi sungai juga mempunyai dua tiang sahaja dan tebing sungai merupakan tiang yang lain bagi menongkatkan rumah itu.

Di tempat yang rata di kawasan barat Hunan juga terdapat sejenis rumah panggung yang lain. Perbezaannya ialah rumah yang dibina di atas pelantar bertiang di sebelah rumah utama adalah lebih tinggi daripada rumah utama itu. Rumah panggung tersebut adalah ditongkatkan oleh 4 tiang.

Menurut catatan sejarah Provinsi Hunan, reka bentuk rumah panggung di kawasan barat Hunan dibina seperti itu untuk menghindarkan serangan binatang liar dan ular yang bisa. Selain itu, bangunan jenis itu juga dapat mengelakkan diri daripada kelembapan bumi.

Pelbagai etnik di kawasan itu mempunyai adat-resam berbeza dalam pembinaan rumah panggung. Misalnya orang etnik Dong membina rumah panggung mesti memilih hari yang bertuah. Mereka memilih dan menebang kayu dan bambu, membina rumah panggung, memasang dan mengecat kayu atau bambu melintang pun mempunyai adat-resamnya sendiri. Suami-isteri yang baru berkahwin tinggal di tingkat dua, manakala orang tua dan orang teruna yang belum berkahwin tinggal di tingkat 3. Rumah panggung etnik Miao di kawasan itu pinggiran atapnya melengkung ke atas dan mempunyai beranda di 3 belah. Rumah panggung mereka dua tingkat, di tingkat dua terdapat jendela untuk membolehkan cahaya matahari menyinari ruang di tingkat itu dan membolehkan udara segar dapat beredar dengan bebas. Tingkap rumah panggung itu dipahat corak pola dua ekor feniks beterbangan menuju ke arah matahari dan singa bermain bola yang merupakan pola menggembirakan dalam adat-resam tradisional rakyat China dan gambar-gambar pelbagai bunga antaranya peony dan kekwa yang digemari oleh rakyat China. Adat-resam pembinaan rumah panggung di kawasan itu telah memperlihatkan keistimewaan etnik-etnik tersebut.

Penduduk di kawasan barat Hunan menghargai rumah panggung mereka. Walaupun taraf kehidupan mereka telah banyak meningkat seiring dengan perkembangan sosioekonomi masyarakat China, tetapi mereka enggan merobohkan rumah panggungnya. Sekarang, di rumah panggung tersebut terdapat banyak alat perkakas dan kemudahan moden seperti televisyen dan alat elektronik yang lain. Pada masa dahulu, ramai penduduk di sana tidak pernah keluar dari kampung halaman mereka di kawasan pergunungan dalam seumur hidup mereka, tetapi sekarang belia dan kanak-kanak mereka telah bersekolah di bandar. Sebaliknya, rumah panggung yang sederhana di kawasan itu semakin menarik ramai pelancong dari bandar yang bosan dengan kesibukan bandar.

---Li Jian