Malaysia sedang menimbang kemungkinan membuka semula pejabat perwakilan luarnya di Baghdad, kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Beliau berkata keputusan itu bagaimanapun bergantung kepada keupayaan kerajaan sementara Iraq memastikan keamanan dan keselamatan negara itu selepas 30 Jun ini.
"Apabila kerajaan sementara mengambil alih (pada 30 Jun), kita akan mengkaji kesesuaian untuk kita membuka semula kedutaan kita di Baghdad," katanya pada sidang media di sini selepas kembali dari New York.
Syed Hamid berada di New York sejak Rabu bagi mengetuai delegasi menteri Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengenai Palestin yang berjumpa Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan.
Beliau berkata, satu kajian awal akan dibuat bagi mengenal pasti tarikh dan cara bagaimana pejabat kedutaan Malaysia itu dapat ditubuhkan semula.
Syed Hamid berkata, ketika ini, hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Baghdad masih berjalan di bawah pengawasan dan pengurusan sepenuhnya oleh Pejabat Perwakilan Luar Iraq yang beroperasi di Kuala Lumpur.
Malaysia menutup kedutaannya di Baghdad selepas Amerika Syarikat dan sekutunya menceroboh Iraq pada Mac tahun lepas.
Syed Hamid berkata Wisma Putra perlu memastikan keadaan menyeluruh di Iraq selepas kerajaan sementara Iraq mengambil alih pemerintahan.
"Kita akan mendapatkan laporan (mengenai situasi di Iraq). Bagaimana cara kita dapatkan laporan itu adalah sesuatu yang akan kita putuskan kemudian. Lepas itu kita akan buat keputusan (untuk buka semula pejabat perwakilan luar)."
"Saya tidak fikir kalau perkara itu terang dan jelas, ia patut menimbulkan apa-apa masalah untuk kita membuka semula pejabat perwakilan dalam tempoh masa yang tidak begitu lama," katanya.
Beliau juga berkata bangunan kedutaan Malaysia di Baghdad perlu dibaiki semula.
Beliau berkata buat masa kini, Malaysia berpendapat bahawa keadaan tidak menentu bakal berterusan di Iraq walaupun selepas kerajaan sementara mengambil alih kuasa.
Katanya, oleh itu adalah penting bagi pasukan tentera di bawah mandat PBB yang akan menggantikan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya, memberi tumpuan kepada tahap keselamatan bukan sahaja kerajaan sementara tetapi bagi seluruh penduduk Iraq.
Pasukan pelbagai negara itu menghadapi tugas yang berat kerana kerajaan sementara diberikan tempoh singkat enam bulan untuk mengadakan pilihan raya bagi membentuk kerajaan sebenar, katanya.
-- BERNAMA
|