Menurut Agensi Berita Xinhua, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Autonomi Tibet China, Song Heping baru-baru ini menyatakan bahawa kerja membasmi buta huruf di kalangan belia (umur antara 15-50) sedang dijalankan dengan aktif di Tibet. Menjelang tahun 2007, pendidikan wajib selama 9 tahun akan dipopularkan di seluruh wilayah itu dan kadar buta huruf akan dikurangkan kepada 5%.
Song Heping memberi taklimat bahawa pada masa ini, di Wilayah Autonomi Tibet terdapat 450 ribu orang buta huruf di kalangan belia. Sejak tahun lepas, kerajaan wilayah itu mulai menumpu kerja membasmi buta huruf di kalangan belia dan merancang memperuntukkan 3.5 juta Yuan Renminbi untuk projek itu. Sebelum tahun 2003, wilayah itu purata setiap tahun membasmi kira-kira 4000 orang buta huruf. Walaubagaimana pun, sejak tahun yang lalu, angka tersebut ditingkatkan besar kepada 90 ribu orang.
"Kerja kami bukan sahaja bertujuan untuk membasmi buta huruf, tetapi juga untuk terus meningkatkan pendapatan keluarga terbabit melalui pembelajaran pengetahuan dan teknik berguna", kata beliau.
Menurut satu tinjauan yang dijalankan di Wilayah Autonomi Tibet, pendapatan sesebuah keluarga mempunyai kaitan langsung dengan taraf pendidikan tuan rumah. Pendapatan keluarga yang tuan rumahnya buta huruf ialah lebih kurang 3 ribu Yuan Renminbi setahun. Tuan rumah yang pernah mendapat pendidikan sekolah menengah, pendapatan tahunan keluarganya boleh mencapai 6000 Yuan Renminbi. Manakala, keluarga yang tuan rumahnya pernah menerima pendidikan vokasional dan pendidikan tinggi mempunyai pendapatan melebihi 12 ribu Yuan Renminbi setiap tahun.
Song Heping berkata, sekarang kebanyakan buta huruf di kalangan belia Tibet berada di kawasan padang rumput ternak dan desa yang terpencil. Oleh sebab itu, kerja membasmi buta huruf di kawasan tersebut menghadapi kesukaran yang lebih besar berbanding dengan tempat yang lain.
Di samping itu, kerajaan Wilayah Autonomi Tibet juga sedang meningkatkan pembangunan pelbagai tempat latihan vokasional untuk para petani supaya penduduk etnik Tibet dapat menerima lebih banyak latihan vokasional demi meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan mereka.
Beliau menyatakan bahawa menjelang tahun 2010, Wilayah Autonomi Tibet akan membasmi buta huruf di kalangan belia dan mempopularkan pendidikan wajib selama 9 tahun. Ini akan meningkatkan taraf pendidikan penduduk etnik Tibet dan kehidupan mereka.
----Puspa
|