Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2004-06-22 16:58:03    
Tradisi Persahabatan yang Kekal Abadi Dalam Hubungan China-Malaysia --Merujuk Kepada Kitab Sejarah China

CRI

Kertas Kerja Prof. Liang Liji, Peking Universiti

untuk Seminar Persahabatan China-Malaysia

1. Permulaan Hubungan antara China dengan Alam Melayu

Kalau berdasarkan hasil penggalian benda-benda tinggalan zaman purba di negeri China, maka pada 3-4 ribu tahun yang lalu mungkin sudah ada hubungan antara China dengan Alam Melayu. Dari hasil penggalian bekas tinggalan zaman Yin (abad 17-11 S. M.) ditemukan suatu batok kura-kura "Jia Gu Wen" yang besar sekali, dipercayai berasal dari Alam Melayu. Disamping itu di sebuah makam raja juga ditemukan tulang-tulang binatang yang disebut "Ma Lai Mo" , iaitu tenuk (Tapirus Malayanus) yang asalnya dari Alam Melayu pula.

Kalau berdasarkan teks-teks yang terdapat dalam kitab sejarah kuno China, maka HanShu-- Di Li Zhi ( Kepustakaan Dunasti Han—Catatan Geografi) adalah kitab sejarah kuno China yang terawal mencatat adanya hubungan itu, dikatakan bahawa semenjak Kaisar Wu Di (140-87 S.M.) sudah dibuka perjalanan laut dari negeri China melalui Semenanjung Tanah Melayu hingga ke India, pergi balik mengambil masa kira-kira dua tahun. Jadi pada abad kedua sebelum Masehi hubungan China-Alam Melayu sudah berjalan dan bersamaan dengan itu juga sudah berlaku perniagaan barter di laut, ada yang " membeli mutiara, batu-batu permata, barang-barang aneh dengan membawa emas dan macam-macam kain sutera".

Catatan pertama tentang adanya hubungan rasmi antara China dengan negeri di Alam Malayu terdapat dalam sebuah kitab sejarah yang bertajuk Hou Han Shu (Kepustakaan Dinasti Han Belakangan), demikian catatannuya:

Pada tahun ke-6 Tahun Yong Jian (131 T.M.--pen) Ye Diao yang di sebelah luar Re Nan, rajanya Bian mengirim utusan untuk mempersembahkan ufti. Kaisar pun menganugerahi raja Diao Bian dengan cap mohor serta kain dewangga ungu.

Yang disebut negeri Ye Diao itu ialah Javadvipa, lokasinya mungkin di Jawa Barat. Dan nama rajanya Diao Bian adalah tiruan bunyi dari kata Sanskit Devavarman. Walaupun catatannya sangat ringkas, namun itu adalah maklumat sejarah pertama yang membuktikan bahawa pada abad ke-2 antara Dinasti Han dengan Javadvipa sudah dibuka hubungan yang rasmi. Dan dari penemuan-penemuan artifek sejarah di Alam Melayu yang berupa barang-barang seramik buatan Dinasti Han juga boleh mendukung kebenaran data sejarah tersebut..

Kemudian pada zaman Samkok, iaitu zaman Tiga Kerajaan (220-280 T.M.) , terutama Kerajaan Wu Timur yang letaknya di bahagian selatan China lebih berkepentingan untuk meluaskan hubungan perniagaannya dengan Asia Tenggara. Maka Raja Sun Quan (222-252 T.M.) mengirim dua utusan yang bernama Zhu Ying dan Kang Tai melawat ke berbagai negeri di Asia Tenggara. Zhu Ying telah menulis sebuah buku yang bertajuk Fu Nan Yi Wu Zhi ( Barang-barang Aneh di Funan) dan Kang Tai juga menulis sebuah buku yang bertajuk Wu Shi Wai Guo Zhuan ( Hikayat Negeri-negeri Asing pada Masa Kerajaan Wu). Dalam kedua buku itu penulisnya menuturkan kesan perjalanannya secara cermat dan itu mungkin adalah dokumentasi sejarah yang terawal mengenai pandangan orang China terhadap tamadun Melayu di abad ke 3 . Sayang sekali kedua buku itu sudah hilang lenyap pada zaman Dinasti Tang, tetapi untung kutipan-kutipannya masih boleh ditemukan dalam beberapa kitab sejarah selepas zaman itu. Dalam kitab sejarah Liang Shu ( Kepustakaan Dinasti Liang – 502-557) misalnya, ada catatan tentang ketamadunan negeri Lang Ya Xiu pada abad ke 6. Negeri Lang Ya Xiu itu lokasinya diduga di sekitar Patani dan Kedah.

Menurut catatan kitab sejarah Shui Shi (Kepustakaan Dinasti Shui – 581-618), pada tahun 607 Kaisar Shui Yang Di mengutus Chang Jun dan Wang Jun Zheng ke Chi Tu Guo (Negeri Tanah Merah) untuk mengembangkan hubungan persahabatan. Mereka telah membuat laporan lengkap tentang kemajuan tamadun Melayu di negeri tersebut. Negeri Tanah Merah itu diduga lokasinya di Singora, pantai timur Semenanjung Tanah Melayu. Ada juga yang menganggapnya di Kedah. Dari apa yang dilaporkan oleh Zhang Jun itu kita boleh mendapat suatu gambaran yang konkrit bahawa raja Negeri Tanah Merah sangat memandang berat akan hubungan dengan China, maka kedatangan utusan China sangat dialu-alukan dan dimuliakan.

2. Perkembangan Hubungan China dengan Alam Melayu Selepas Abad Ke-7

Pada masa Dinasti Tang (618-907 T.M.) hubungan China dengan Alam Melayu bertambah luas dan mulai ada pertembungan budaya. Ketamadunan Melayu mendapat perhatian yang lebih besar dan luas di China. Di sini boleh kita ambil dua contoh yang tipikal, satu ialah hubungan dengan Kaling (dalam kitab sejarah China disebut He Ling). Satu lagi ialah hubungan dengan Sriwijaya (dalam kitab sejarah China disebut Shi Li Fo Shi).

Dalam kitab sejarah yang bertajuk Xin Tang Shu (Kepustakaan Dinasti Tang Baru) ada memuat suatu catatan yang sangat menarik tentang tingginya kesusilaan dan ketamadunan negeri Kaling itu:

Pada masa Shang Yuan ( 674-675 T.M—pen) rakyat mengangkat seorang perempuan sebagai ratunya, digelari Xi Mo. Ketertiban dan perundangan negara dijalankannya dengan keras sekali. Benda yang tertinggal di jalan tiada orang yang mengambilnya. Konon khabarnya sampai ke telinga raja Da Shi, maka sengaja dibuangnya sepundi emas di luar kota, tetapi orang yang lalu-lalang di situ menjauhinya. Demikianlah telah berlaku tiga tahun lamanya. Hatta sekali peristiwa, putera mahkota berlalu di sana dan mengusik pundi itu dengan kakinya. Xi Mo pun marahlah, lalu menyuruh orang penggal kepala putera mahkota. Para menteri bermohon supaya diampuni. Maka Xi Mo pun bersabda;" Perbuatan jenayah itu berpangkal dari kakinya, maka potonglah jari kakinya." Para menteri datang lagi untuk bermohon diampuni, tetapi hukuman potong jari kaki itu tetap dijalankan supaya dijerakan oleh khalayak ramai. Mendengar khabar itu Da Shi pun tidak berani datang menyerang.

Apakah catatan di atas itu memang suatu kejadian sejarah yang sebenar, atau hanya suatu kisah yang didengarnya sahaja, memang agak sukar untuk dipastikan kerana tidak ada sumber lain yang boleh memberi rujukan. Tetapi saya kira itu boleh dipandang sebagai suatu tanggapan orang Cina pada masa itu terhadap kemajuan tamadun di Alam Melayu. Bagi orang Cina, "benda yang tertinggal di jalan tiada orang yang mengambilnya " itu semenjak dahulu sudah merupakan idam-idamannya tentang suatu masyarakat sentosa yang berakhlak tinggi.

Hubungan Kebudayaan antara Dinasti Tang dengan Sriwijaya pada abad ke-7 juga telah mencapai taraf yang tinggi. Dalam hal ini peranan yang dimainkan oleh Yi Jing (I-Tsing) patut dipuji. Yi Jing adalah seorang pendeta Buddha Cina yang agung dan sarjana yang termasyhur di zaman Dinasti Tang. Pada tahun 671 ketika untuk pertama kali memijakkan kakinya di bumi Sriwijaya dalam perjalanannya ke India, Yi Jing segera dikagumkan oleh kemajuan tamadun dan kebudayaan Buddha di sana. Tadinya Yi Jing singgah di Sriwijaya hanya untuk beberapa hari sahaja lalu terus menuju ke India, tetapi setelah melihat kemajuan kebudayaan dan agama Buddhanya, maka beliau menganggap bahawa Sriwijaya adalah tempat yang ideal untuk belajar dan mengadakan persiapan sebelum pergi ke India. Oleh itu beliau pun memutuskan tinggal enam bulan lebih lama di sana "untuk memperlajari pramasastra Sanskrit" dan ternyata hasilnya sangat memuaskan, sehingga beliau mengesyorkan kepada pendeta agung Cina yang berniat menuntut ilmu ke India "seeloknya singgah dahulu di negeri itu barang satu dua tahun untuk mempelajari tatacaranya, kemudian barulah pergi ke India". Atas syor Yi Jing itu ada 19 orang pendeta Buddha Cina yang pernah mengunjungi Sriwijaya atau Kaling dan di antaranya malah ada yang "senang sekali tinggal di Sriwijaya sehingga tidak mahu balik lagi ke Fan Yu (Guangzhou)".

Dalam memajukan hubungan kebudayaan, Yi Jing rupanya sudah menyadari pentingnya peranan bahasa. Beliau adalah orang pertama yang mementingkan pembelajaran bahasa Melayu kuno dan telah mencatat beberapa nama pendeta Cina yang memahami bahasa "Kun-lun", iaitu bahasa Melayu Kuno yang berlaku di Sriwijaya..

Sekembali dari India Yi Jing menetap lagi di Sriwijaya hampir 14 tahun lamanya untuk melakukan pengajian dan penerjemahan kitab-kitab Buddha yang dibawanya dari India. Selain itu, beliau pun menaruh banyak perhatian atas ketamadunan dan adat istiadat Melayu di sana dan memerikannya dalam karya-karyanya. Yi Jing boleh dikatakan adalah orang yang paling berjasa dalam memperkenalkan ketamadunan Melayu dan memajukan hubungan dan pertembungan budaya antara China dengan Alam Melayu pada abad ke-7.

Seterusnya pada zaman Dinasti Song ( 960-1279 T.M.) dan Dinasti Yuan ( 1206- 1368 T.M.) hubungan antara China dengan Alam Melayu lebih tertumpu pada bidang perniagaan. Dalam penulisan sejarah Dinasti Song dan buku-buku yang ditulis pada zaman itu dapat dirujuk banyak catatan yang menjelaskan bagaimana saling menguntungkan dan saling melengkapi dalam perniagaan bater itu. Saudagar Cina yang datang ke Alam Melayu bertambah banyak dari tahun ke setahun dan kedatangan mereka selalu dialu-alukan dengan mesra oleh penduduk negeri, sebagaimana dicatat dalam Song Shi (Sejarah Dinasti Song) bahawa saudagar Cina yang datang berniaga selalu "dipelawa menginap di rumah tetamu dan disediakan makanan-makanan yang banyak dan bersih". Begitu juga yang dicatat dalam buku zaman Dinasti Yuan yang bertajuk Dao Yi Zhi Lue (Catatan Ringkas Tentang Pulau-pulau Negeri Asing) :" Saudagar Cina sangat dimuliakan, mabuk pun ada orang yang menghantarkannya ke tempat penginapannya."

3. Kemuncak Kegemilangan Hubungan China dengan Alam Melayu pada Abad Ke- 15

Hubungan China dengan Alam Melayu mencapai kemuncak kegemilangannya pada zaman Dinasti Ming abad ke 15 . Kala Dinasti Ming baru ditubuhkan pada tahun 1368, keadaan dalam negerinya masih sangat gawat, sehingga kaisar pertamanya iaitu Ming Tai Zhu tidak sempat memerhatikan masalah hubungan dengan luar negeri?malah "mengharamkan rakyat berlayar ke luar laut dan berniaga dengan negeri asing tanpa izin"?Selepas Kaisar Ming Cheng Zu bertakhta (1403-1424), keadaan dalam negeri telah membaik dan ekonominya pun semakin bertambah maju. Ini telah memungkinkan Kaisar Ming Cheng Zu untuk lebih banyak menumpukan perhatiannya terhadap masalah hubungan dengan luar negeri?Kaisar Ming Cheng Zu menitikberatkan politik luar negerinya pada dua aspek?Pertama berupaya menjalin hubungan silaturahim dengan negeri-negeri di sekitar agar Dinasti Ming boleh berada dalam lingkungan antarabangsa yang damai dan rukun?Kedua, menggalakkan perniagaan dua hala dengan negeri asing agar ekonominya bertambah maju dan makmur. Tujuh kali lawatan Laksamana Zheng He (Sampo Kong) ke Samudera Barat adalah tindakan pelaksanaannya daripada politik luar negeri tersebut. Lawatan muhibah Laksamana Zheng He itu mendapat sambutan hangat dan meriah sekali daripada raja dan rakyat negeri yang dikunjunginya. Ma Huan, seorang cendekiawan Muslim Cina yang mendampingi Zheng He sebagai jurubahasanya, dalam buku kisah pelayarannya yang bertajuk Ying Ya Sheng Lan (Pemandangan Indah di Tepi Laut Seberang) telah mengungkapkan betapa meriahnya sambutan itu dalam sebuah sajak:

                                         Di mana surat kaisar tiba,

                                                   Di situ gemuruh riang gembira.

                                         Raja negeri dan ketua penghulu,

               Dahulu-mendahu mengalu-alu.

Pada saat itulah hubungan China-Alam Melayu mulai membuka era barunya. Tahun 1403 T.M. Kaisar Ming Cheng Zu mulai mengirim Menteri Dalamnya yang bernama Yin Qing sebagai utusan baginda ke Alam Melayu untuk membuka hubungan baru dan Melaka adalah negeri pertama yang dikunjunginya. Kedatangan Yin Qing disambut dengan meriah sekali dan Raja Melaka Parameswara pun mengirim utusannya ke China untuk menjalin hubungan rasmi. Maka pada tahun 1405 Kaisar Ming pun mengiktirafkan Parameswara sebagai Raja Negeri Melaka dan menghadiahkan sebuah batu bersurat yang berisikan sebuah sajak pujian mengenai persahabatan kekal abadi antara kedua bangsa. Demikian bunyinya:

Dari samudera barat daya ke Tiongkok alam sambung-menyambung,

Berjuta tahun sama-sama dirahmati langit dan bumi dengan berkat dan untung.

Bersebati mesra disinari suria dan candra dengan cahaya nan lembayung,

Bertumbuh subur rumput pokok disirami hujan dan embun yang melindung.

Bersemarak kesuma kencana memancarkan warna-warni kilau nan membubung,

Nun, di situlah berdiri sebuah negeri dengan rakyatnya yang menjunjung adat agung,

Rajanya bijak dan adil tiada lalai berdatang kunjung,

Berikhtiar lebih daripada jirannya mematuhi adab unggun yang dijunjung.

Keluar masuk diarak pengiring dengan berapit payung-mayung,

Adat resam daripada nenek-moyang dengan khidmat senantiasa dipanggung.

Syahdan bersuratlah pada batu mulia memuji bakti setia nan tak pernah urung.

Di bukit barat negerimu bertegak megah selama peredaran dunia berlangsung,

Penjaga gunung dan laut bagaikan pengawal selalu taat mendukung,

Nenek-moyang berkenan turum bermukim di alam nan bercakerawala lengkung.

Dinaungi ujum mulia negerimu kian hari kian makmur beruntung,

Dan anak cucumu sekaliannya bertuah bahagia tiada berhujung.

Konon batu bersurat itu ditegakkan di bukit barat Melaka, sayang sekali sampai sekarang masih belum dapat ditemukan, tapi untung sajak pujian itu telah dimuat dalam Ming Shi , kitab sejarah rasmi Dinasti Ming. Ini adalah satu bukti sejarah yang kuat bahawa pada 500 tahun lebih yang lalu China sudah beriktikad untuk berukun damai dan bersahabat kekal dengan negeri Melayu. Untuk mempererat tali silaturahim antara Empayar Melaka dengan Dinasti Ming, maka pada tahun 1411 Raja Melaka Parameswara untuk pertama kali melakukan lawatan diraja ke China dengan membawa rombongan seramai 540 orang lebih, suatu rekod yang luar biasa dalam sejarah.. Kaisar Ming Cheng Zu telah memberi sambutan yang hangat dan mesra sekali. Lawatan diraja yang dilakukan Parameswara itu bermula pada bulan 7 tahun 1411 dan berakhir pada bulan 9. Selama dua bulan itu Raja Melaka dan rombongannya selalu dilayani dengan segala kebesaran dan kemuliaan. Ini telah dicatat secara terperinci dalam kitab-kitab sejarah Dinasti Ming yang rasmi seperti Ming Shi, Ming Shi Lu dll. Ternyata bahawa pergaulan mesra selama dua bulan antara Kaisar Ming dengan Raja Melaka itu telah menanam benih persahabatan yang mesra.

Maka ketika Raja Melaka meningglkan ibukota Ming untuk balik ke Melaka, Kaisar Ming pun merasa berat sekali untuk melepasnya dan terus menaruh perhatian besar atas kesihatan dan keselesaan raja Melaka di sepanjang perjalanan pulang. Kaisar Ming memberi titah printah kepada pembesar Guangdong supaya sedaya-upaya mempersenangkan Raja Melaka dan melayaninya sebaik-baiknya. Dalam Guangdong Yong Zhi (Almanak Giangdong) ada catatannya yang sangat menarik:

Pertemuan kita dengan Raja Melaka sangat serasi dan menyenangkan, sudah sepatutnya kita minta raja Melaka tinggal untuk lebih lama lagi, namun rakyat baginda pun senantiasa menanti-nantikan rajanya balik. Oleh yang demikian maka kalian harus menghiburkan hatinya. ........; segala santapan dan minuman baginda di perjalanan haruslah diatur dengan sebaik-baiknya dan kesihatan baginda pun haruslah dijaga dengan sebaik-baiknya, agar tidak mengkhawatirkan kita.

Lawatan diraja yang pertama kali dilakukan Parameswara itu telah mencapai kejayaan besar sekali dan telah meletakkan dasar yang kukuh bagi pembinaan hubungan siraturahim yang akrab. Semenjak itu kunjung- mengunjung dan utus-mengutus dari kedua pihak makin kerap dilakukan.

Menurut catatan Ming Shi dan Ming Shi Lu , dalam masa 20 tahun lebih sejak dibukanya hubungan rasmi itu, tidak kurang dari tiga orang raja Melaka yang telah melakukan lawatan diraja ke negeri China dan jumlah seluruhnya enam kali. Ada lima orang kerabat raja Melaka yang telah diutus ke negeri China untuk melakukan misi persahabatan atau permohonan bantuan. Sedangkan pengiriman utusannya ke negeri China selama itu tidak kurang dari 24 kali. Dari pihak Dinasti Ming pembesar yang diutus ke negeri Melaka pun tidak sedikit, terutama yang harus dicatat ialah peranan yang dimainkan oleh Laksamana Zheng He. Bandar Melaka telah dipilihnya untuk dijadikan pangkalan logistiuk armadanya dalam melawat ke Samudra Barat. Pilihan itu memang tepat sekali kerana Melaka bukan sahaja mempunyai lokasi yang sangat strategik, juga merupakan negeri yang bersahabat akrab dengan China. Armada Laksaman Zheng He umumnya mesti berlabuh dahulu di Melaka ketika pergi untuk melawat ke negeri jauh atau balik dari melawat dan anak buahnya berjumlah 27,000- 28,000 orang. Boleh dibayangkan betapa ramainya orang Cina yang pernah singgah di Malaka pada masa itu, mereka bergaulan secara erat dengan rakyat Melaka dan langsung menyaksikan dan meneliti ketamadunan Melayu di negeri Melaka. Ma Huan dalam bukunya yang telah disebut di atas ada memprihalkan secara menyeluruh keadaan budaya dan agama di Melaka pada masa Megat Iskandar Syah bertakhta. Di sini kita ambil sebahagian kecil catatannya sebagai contoh:

.......Raja dan rakyatnya semua memeluk agama Islam, menjalankan ibadat dan mengaji al-Quran. Rajanya berserbankan kain putih yang halus, berpakaian panjang dari kain hitam yang berbunga-bunga kecil, rupanya seperti jubah, berkasut kulit, keluar masuk berusung. Penduduk negerinya laki-laki berdestar, perempuan bersanggul di belakang kepala, kulitnya sedikit hitam, bahagian bawah tubuhnya berselubung kain putih, bahagian atasnya berbaju lengan pendek yang berwarna. Adat istiadatnya sederhana dan murni........

Begitu juga secara cermat diperihalkan keadaan ekonomi, fauna-flora di Melaka, misalnya hasil mahsulnya yang beruapa kemenyan, kayu buhi, sagu, damar, mutiara, timah dan lain-lain. Ma Huan cukup cermat dalam penelitiannya, ia mendapatkan penduduk di Melaka kebanyakan adalah nelayan yang menggunakan perahu lading berlayar ke laut untuk menangkap ikan. Ia pun menyifatkan secara menditail bagaimana lombong timah dikelolakannya, sampai-sampi dongeng-dongeng mitos seperti harimau jadian pun ada disebutnya.

Selain itu Ma Huan juga telah memprihalkan dengan teliti tentang keadaan pangkalan logostik Armada Laksamana Zheng He di Melaka. Demikian catatannya:

......Kapal dari Armada Laksamana Zheng He singgah di negeri itu. Dibuatnya pager sekat seperti tembok kota, dibuat lagi empat rumah panggung beduk, malamnya ada orang yang meronda dengan membawa canang. Di bahagian dalamnya dibuat lagi pager sekat berlapis seperti kota kecil di mana dibangun sebuah gudang untuk menyimpan wang, bahan makanan dan lain-lain. Dan kapal-kapal yang balik dari berlayar ke luar negeri datang ke situ untuk berkumpul semuanya, lalu mengemaskan barang-barang dari negeri asing untuk diangkutkan ke dalam kapal, kemudian menunggu datangnya angin selatan, dan berlepas balik pada pertengahan bulan lima. Rajanya pun sendiri menyiapkan barang-barang hasil mahsul, lalu membawa isterinya dan para menterinya naik kapal dan mengikuti Armada Zheng He ke ibu negara China untuk mempersembahkan ufti......

Catatan yang di atas membuktikan bahawa misi yang dijalankan oleh Armada Laksamana Zheng He ialah untuk memajukan hubungan persahabatan dan perniagaan, sama sekali tidak berniat untuk merampas negeri lain. Melaka tidak hanya merupakan pangkalan logistiknya, juga merupakan pusat pergaulan persahabatan dan pertembungan budaya antarta dua bangsa. Lawatan diraja ke China yang dilakukan Raja Melaka rupanya juga mendapat kemudahan dan pengawalan daripada Armada Zheng He. Maka berlainan sekali dengan kedatangan kuasa Barat seabad kemudian, mereka datang bukan untuk mencari persahabatan melainkan untuk menceroboh dan merampas negeri Melaka.

Abad ke 15 boleh dipandang sebagai abad persahabatan mesra antara China dengan Melayu dan lawatan-lawatan yang dilakukan Raja Melaka dan Laksamana Zheng He telah memainkan peranan yang penting sekali. Semakin erat dan akrab hubungan antara China dengan Melayu tentu semakin diperlukan alat komunikasi yang berkesan, iaitu bahasa. Tanpa bahasa tak mungkin berlaku komunikasi yang lancar antara seseorang dengan seseorang, juga antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Sebagaimana telah dikatakan di atas, pada zaman Dinasti Tang abad ke-7 sudah ada pendeta-pendeta Buddha Cina yang memahami bahasa Melayu Kuno. Tetapi itu masih sangat terhad pada segolongan kecil daripada kaum pendeta Buddha Cina sahaja, sedangkan kerajaan Dinasti Tang masih belum menyadari pentingnya peranan bahasa kerana hubungan China dengan Alam Melayu pada masa itu masih dalam taraf permulaan. Sejalan dengan bertambah luas dan berkembangnya hubungan antara China dengan Alam Melayu, Kaisar Ming Cheng Zu pun telah menyadari pentingnya peranan bahasa itu, maka pada tahun 1405 baginda bertitah untuk menubuhkan sebuah lembaga pendidikan bahasa asing yang dipanggil "Si Yi Guan" ( Balai Bahasa Negeri-negeri Aing) di mana Bahasa Melayu dijadikan salah satu jurusan. "Si Yi Guan" adalah maktab bahasa asing yang pertama dalam sejarah China dan bahasa Melayu pada 500 tahun yang lalu sudah diajarkan di maktab itu. Betapa dipentingkannya peranan bahasa asing itu boleh dilihat dari cogan yang dipancangkan di muka maktab itu:" Ilmu Penyalinan Bahasa Asing Itu Boleh Bertahun Tidak Digunakan, Tetapi Tidak Boleh Sehari Tidak Disiapkan".

Bukanlah suatu kebetulan kalau pada masa itu pula lahir kamus Cina-Melayu yang terawal, iaitu Man La Jia Guo Yi Yu (Senarai Perkataan Negeri Melaka). Lahirnya sebuah kamus, walaupun sangat sederhana, itu sudah menandakan bahawa hubungan antara dua bangsa yang berlainan bahasanya telah mencapai peringkat cukup tinggi sehingga saling memahami bahasanya sudah menjadi suatu kemestian. Dan dengan berperanannya bahasa sebagai alat komunikasi yang berkesan, maka hubungan kedua bangsa itu pun dapat lebih lancar dan cepat meluas, dan pertembungan budaya antara dua bangsa juga akan lebih meresap dan mendalam.

4. Tradisi falsafah budaya yang melandasi dasar luar negeri China

Hubungan China dengan Alam Melayu boleh mencapai kemucak kejayaannya pada abad ke-15 juga tak terpisahkan dari tradisi falsafah budaya yang menjiwai bangsa Cina. Sebagaimana diketahui, China adalah negara besar yang bersejarah panjang dan yang cinta damai. Hidup rukun damai dengan jiran telah menjadi dasar falsafah bangsa Cina semenjak zaman purba kala, juga dalam menjalankan politik luar negerinya. Pengasasnya yang utama adalah Confucius (551 S.M-479 S.M.) dan dasar falsafahnya boleh diungkapkan dalam satu kata Cina, iaitu "?" (baca Ren). Kata ini mengandung makna yang luas dan dalam sekali. Dilihat dari pembentukan katanya ia terdiri daripada paduan dua kata. Yang sebelah kirinya kata"?", bermakna"manusia"; yang sebelah kanannya kata "?" , bermakna "dua". Jadi yang diungkapkan dengan kata "?" itu ialah suatu gagasan yang menyangkut masalah hubungan antara manusia dengan manusia, juga antara bangsa dengan bangsa . Ketika menjawab pertanyaan muridnya, Confucius menjelaskan bahawa "yang dimaksudkan dengan'?' ialah' bersayang-sayangan'", iaitu antara manusia dengan manusia harus bersayang-sayangan, lalu menegaskan bahawa " apa yang kamu tidak suka, janganlah kamu lakukan kepada orang lain" dan "kalau kamu ingin tumbuh tumbuhkan pulalah orang lain, kalau kamu ingin makmur makmurkan pulalah orang lain". Maka kata "Ren" itu boleh merangkumi makna keperimanusiaan, kepengasihan, ketoleranan dan sebagainya. Dasar falsafah Confucius itu menentang egoisme yang hanya mementingkan diri sendiri dan merugikan orang lain, menentang segala perbuatan zalim, ganas, ceroboh dan menggunakan kekerasan dalam hubungan manusia dengan manusia dan bangsa dengan bangsa. Maka dalam segala hal Confucius menekankan bahawa " rukun damai adalah pangkal kemuliaan"dan selalu menghebahkan"insan di dalam empat samudera adalah bersaudara". Dasar falsafah Confucius itu telah meresap ke dalam jiwa bangsa Cina turun-temurun. Oleh itu cinta damai dan menginginkan hudup rukun damai antara semua bangsa telah menjadi tradisi bangsa Cina sejak sedia kala. Dinasti Ming pun meneruskan tradisi itu, tetap berpegang teguh pada asas rukun damai. Dinasti Ming semasa Kaisar Ming Cheng Zu bertakhta telah mencapai kemuncak kejayaannya, memiliki armada yang terbesar dan terkuat di dunia, namun Dinasti Ming tetap menjalankan politik luar negeri yang damai. Kekuatan angkatan laut yang besar itu tidak pernah digunakan untuk merampas dan menjajah negeri lain, melainkan untuk meluaskan hubungan persahabatan dan memelihara perdamaian antarabangsa. Laksamana Zheng He telah 7 kali melawat ke Samudera Barat (Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Barat) , jumlah kapal yang tergabung dalam armadanya lebih dari 200 buah dan jumlah anak buah dan askarnya antara 27,000 sampai 28,000 orang. Kedatangan Armada Zheng He bukan hanya untuk menyebarkan benih-benih persahabatan dan menjamin perdamaian serantau, juga untuk menjamin kelancaran perniagaan antarabangsa., maka sangat dialu-alukan oleh negeri-negeri yang dikunjunginya. Pada masa itu Dinasti Ming merupakan suatu empayar yang terbesar dan terkuat di kawasan Asia dan juga merupakan faktor penjamin keamanan dan ketentraman bagi negara-negara di Asia Tenggara, sehingga banyak raja yang berinisiatif untuk melawat ke China demi menjalin hubungan persahabatan yang lebih akrab dengan Dinasti Ming.

Berdasarkan tradisi falsafah China itu Dinasti Ming selalu menentang pencerobohan dan penggunaan kekerasan dalam menyelesaikan perselisihan antarabangsa. Maka negeri-negeri di Aalam Melayu banyak yang datang minta bantuan kepada Dinasti Ming bila menghadapi pencerobohan dan persengketaan dengan negeri lain. Dan Dinasti Ming selalu mengulurkan tangannya untuk menyelesaikan masalahnya dengan jalan damai. Dinasti Ming dengan tegas menentang segala pencerobohan dan penggunaaan kekerasan dalam menyelesaikan persengketaan, itu dapat dibuktikan dari dokumen sejarah yang termuat dalam Tai Zhong Shi Lu (Rekod Hal-Ehwal Kaisar Tai Zhong, Volume 217) , demikian bunyinya:

Adapun tentera itu alat yang berbahaya, kalau dua tentera bertempur akan mendatangkan kecederaan bagi kedua pihak, Maka bukanlah tabiat orang budiman kalau suka menggunakan tentera untuk menyerang orang lain. ....Hiduplah rukun dengan negara jiran, tidak saling menyerang, bukankah sama-sama boleh menikmati kesejahteraan untuk selama-lamanya?

Dengan berpegang pada asas rukun damai Dinasti Ming juga menjadi penjamin dalam melancarkan perniagaan antara bangsa. Armada Zheng He dalam pelayarannya juga berusaha membersihkan jalan laut daripada gangguan pembajak dan lanun. Pada suatu masa kawanan bajak laut sangat mengganggu keamanan di Laut Selatan China, kapal-kapal niaga sering dirompak dengan sewenang-wenang sehingga perniagaan laut menjadi mandek. Pada tahun 1407 kawanan bajak laut yang ganas itu berjaya ditumpas oleh Laksamana Zheng He dan perniagaan laut pun menjadi lancar semula. Menurut catatan daripada buku sejarah yang bertajuk Ming Hui Dian ( Kumpulan Dokumen Dinasti Ming) , hasil mahsul dari Alam Melayu yang diexport ke China tidak kurang daripada 40 jenis. Sebelum kuasa Barat datang, hubungan perniagaan antara China dengan Alam Melayu yang berdasarkan saling menguntungkan dan saling melengkapi selalu berjalan lancar.

5. Meneruskan dan mengembangkan tradisi persahabatan dalam menghadapi cabaran globalisasi

Hubungan persahabatan China dengan Melayu pada abad ke 15 sungguh patut dicatat dengan dakwat emas. Sayang hubungan yang gemilang itu kemudian tidak dapat dilanjutkan lagi akibat pencerobohan kolonialisme Barat. Semenjak itu, kedua negara kita mengalami nasib yang sama, berabad-abad menderita penjajahan dan penindasan oleh kuasa-kuasa Barat. Syukurlah zaman pahit itu sudah berlalu, kini kedua negara kita sudah berdaulat semula dan pada 30 tahun yang lalu Kerajaan China dan Kerajaan Malaysia telah membuka hubungan diplomatik. Dengan demikian tradisi sejarah yang pernah membina persahabatan China-Melayu itu dapat dipulihkan semula dan dikembangkan lebih lanjut atas kondisi baru.

Semenjak dibuka hubungan diplomatik, selama tiga puluh tahun ini, hubungan kedua negara kita terus berkembang ke arah yang lebih luas, dan kunjung-mengunjung daripada pemimpin kedua negara semakin kerap dilakukan. Semua itu telah memberi dorongan kuat untuk mempererat persahabatan dan memperluas kerjasama ke segala bidang. Kini dalam menghadapi cabaran globalisasi, kedua negara kita sebagai negara berkembang mempunyai kepentingan dan matlamat bersama, iaitu mencurahkan segenap tenaga untuk membangun negara masing-masing dan menegakkan keadilan dalam hubungan antarabangsa. Maka kebelakangan ini China dan negara-negara Asian telah bersepakat untuk membentuk hubungan partner strategik yang mengarah ke perdamaian dan kemakmuran. Perdama Menteri Wen Jiabao dengan tuntas telah menegaskan lagi tiga dasar luar negeri daripada Kerajaan China, iaitu "hidup rukun damai dengan negara jiran; hidup aman tenteram dengan negara jiran; hidup semakmur dengan negara jiran". Jelaslah bahawa tiga dasar luar negeri itu berpangkal pada falsafah rukun damai dengan jiran dan merupakan penerusan dan pengembangan daripada tradisi persahabatan yang sudah berlaku semenjak zaman Dinasti Ming dan Empayar Melaka. Sudah tentu baik kandungannya mahupun dimensinya akan jauh lebih luas dan kaya. Maka kita beralasan untuk beroptimis akan prospek hubungan partner strategik antara kedua negara kita ini. Cabaran globalisasi akan lebih mendekatkan kedua negara ini untuk bekerjasama di segala bidang agar dapat sama-sama mencapai kemakmuran dan membina keadilan dan ketentraman antarabangsa.

                           Yang kurik hanya kundi,

                                             Yang merah hanya saga;

                           Yang baik hanya budi,

Yang indah hanya bahasa.

Memang budi dan bahasalah yang telah melandasi tradisi sejarah persahabatan itu. Kita akan berpegang dengan lebih teguh pada prinsip saling hormat-menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah masing- masing, saling tidak menyerang, saling tidak mencampuri urusan dalam negeri, saling menguntungkan atas persamaan hak dan hidup berdampingan secara damai.. Dengan terus-menerus mengembangkan tradisi persahabatan yang gemilang itu, kita tentu akan mampu mencetak rekod yang lebih gemilang lagi dalam sejarah kita.